Pemuda Barisan Alternatif (BA) akan terus mendesak kerajaan sehingga bersetuju menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kesahihan dan kandungan klip video peguam kanan Datuk VK Lingam yang berbual melalui telefon, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Klip video yang dikatakan bagi mengatur pelantikan hakim, didedahkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, antara program untuk mendesak kerajaan bagi menubuhkan suruhanjaya diraja ialah ceramah dan penerangan di seluruh negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Krian berkata, penubuhan suruhanjaya diraja penting untuk membolehkan mereka yang terlibat dengan skandal tersebut dibawa ke muka pengadilan.

"Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu bertindak segera kerana krisis kehakiman sudah mencapai tahap bahaya.

"Apa hendak jadi dengan negara kita jika sistem kehakimannya sama seperti di negara Amerika Latin," katanya dalam satu perhimpunan di Masjid Negara hari ini.

Tindakan susulan

Hadir sama, Ketua Angkatan Muda (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin; Bendahari Agung PAS, Dr Hatta Ramli dan kira-kira 100 orang.

Shamsul Iskandar pula berkata, program ini bukan merupakan kali terakhir, tetapi sebaliknya pelbagai tindakan susulan lain akan dibuat.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya turut sama mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat klip video tersebut.

AMK, kata Shamsul, turut menolak penubuhan panel siasatan bebas kerana ia tidak mempunyai kuasa menjalankan siasatan penuh.

Kerajaan melantik bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor untuk mengetuai panel bebas tersebut. Dua lagi anggotanya ialah Pengerusi Majlis Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar. Kedua-duanya adalah bekas pesuruhjaya Suhakam.