Pembunuhan Nurin: Suspek kelima ditahan
Polis menahan suspek kelima pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin - seorang wanita rakyat asing yang bekerja sebagai pembantu gerai menjual pakaian.
Polis menahan suspek kelima pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin - seorang wanita rakyat asing yang bekerja sebagai pembantu gerai menjual pakaian.
Wanita tersebut yang berusia 23 tahun itu, ditahan tengah malam tadi.
Dia dikatakan orang yang bertanggungjawab memberi makan dan minum pada Nurin Jazlin sepanjang tempoh kehilangannya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Christopher Wan Soo Kee mengesahkan penahanan itu, demikian menurut laporan Bernama.
Wanit itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur bersama polis Daerah Petaling Jayajam 12 tengah malam ketika sedang bekerja di sebuah gerai di Pasar Ramadan di Nilai, Negeri Sembilan.
Sebaik ditahan wanita itu terus dibawa ke Bukit Aman untuk siasatan.
Polis kemudian mendapatkan perintah tahanan reman tujuh hari terhadap wanita itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Pengsan
Wanita itu yang memakai baju berwarna kuning bercorak batik dan berseluar coklat muda tiba di perkarangan mahkamah jam 12 tengah hari ini, diiringi dua anggota polis wanita menaiki sebuah kereta polis.
Terkejut dengan kehadiran ramai pemberita dan jurugambar yang menanti, wanita itu tiba-tiba rebah seolah-olah pengsan di hadapan pintu masuk mahkamah tetapi diusung anggota polis wanita masuk ke dalam mahkamah.
Perintah reman itu dikeluarkan Hakim Maimunah Aid kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas mendengar permohonan pegawai penyiasat ASP Loh Pei Pei, menjadikan kini sejumlah lima orang ditahan reman berhubung kes tersebut.
Semalam, polis menahan lima orang berusia antara 27 dan 33 tahun termasuk seorang wanita berhubung pembunuhan Nurin Jazlin dalam tiga serbuan di Seksyen 7, Shah Alam.
Bagaimanapun, wanita itu dibebaskan selepas keterangannya.
Pada 20 Ogos lalu, Nurin Jazlin dilaporkan hilang selepas keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Sekyen 1 Wangsa Maju.
Mayatnya ditemui 27 hari kemudian di dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kedai di Petaling Jaya.
Bedah siasat mendapati kanak-kanak itu menjadi mangsa deraan seksual.

