Suspek kelima dipercayai pernah hubungi bapa Nurin
Wanita yang ditahan polis malam semalam berhubung pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin dipercayai menghubungi bapa Nurin, ketika kanak-kanak itu mula-mula hilang dan memberitahu kanak-kanak itu berada dalam jagaannya, demikian menurut laporan Bernama yang memetik sumber polis.
Wanita yang ditahan polis malam semalam berhubung pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin dipercayai menghubungi bapa Nurin, ketika kanak-kanak itu mula-mula hilang dan memberitahu kanak-kanak itu berada dalam jagaannya, demikian menurut laporan Bernama yang memetik sumber polis.
Menurut sumber itu lagi, dia juga membuat beberapa panggilan telefon kepada "Rakan Cop" untuk mengetahui perkembangan dalam tugas polis mengesan Nurin ketika itu dia masih hilang.
Menurutnya, siasatan awal menunjukkan wanita berumur 23 tahun itu menggunakan sekurang-kurangnya lima kad SIM (Modul Pengenalan Pelanggan) dan dua telefon bimbit untuk membuat panggilan itu serta menghantar SMS (Khidmat Pesanan Ringkas) kepada Rakan Cop.
Ketika menahan wanita itu, yang dipercayai seorang warga asing, polis merampas dua telefon bimbit dan empat kad SIM, kata sumber itu.
Bagaimanapun, tanpa disedari polis, wanita itu meletakkan satu kad SIM, iaitu kad kelima, di bawah lidahnya.
Sumber itu berkata wanita terbabit cuba menelan kad SIM itu, dipercayai mengandungi maklumat berhubung panggilan yang dibuatnya kepada Jazimin, semasa dia dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya tengah hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman ke atasnya selama tujuh hari.
Ketika itulah dia rupa-rupanya tercekik kad itu dan hampir pengsan, kata sumber itu lagi.
Kad SIM
Bernama difahamkan pegawai penyiasat ASP Loh Pei Pei kemudian membawa wanita terbabit ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) bagi mengeluarkan kad SIM itu.
Polis turut membawa wanita berkenaan ke Hospital Kuala Lumpur kira-kira 3.30 petang ini untuk diambil darahnya bagi ujian DNA.
Hubungan antara wanita itu dengan empat suspek lelaki yang ditahan semalam masih belum dipastikan.
Wanita itu ditahan tengah malam semalam di Bazar Ramadan di Nilai, Negeri Sembilan, di mana dia bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah gerai menjual baju.
Dia dikatakan bertanggungjawab memberi makan Nurin Jazlin sepanjang kanak-kanak itu ditahan iaitu antara waktu dia dilaporkan hilang pada 20 Ogos berhampiran rumahnya di Wangsa Maju dan sehingga mayatnya ditemui dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya pada 17 September.
Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Christopher Wan Soo Kee mengesahkan penahanan wanita itu.
Dia ditahan oleh anggota polis dari Bahagian Jenayah Berat Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan segera dibawa ke Bukit Aman untuk disoalsiasat.
Khamis lalu, polis menahan empat lelaki dan seorang wanita, berumur antara 27 dan 33 tahun, dalam tiga serbuan berasingan di Seksyen 7, Shah Alam. Mereka membebaskan wanita itu tetapi memperoleh perintah tahanan reman selama tujuh hari ke atas lelaki berkenaan.
Nurin Jazlin dilaporkan hilang selepas dia bersendirian ke pasar malam berdekatan rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini pada 20 Ogos.
Pada 17 September, mayatnya yang tidak berpakaian dijumpai dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan di hadapan sebuah lot kedai di Petaling Jaya. Dia juga mengalami penderaan seksual, dengan terung dan timun dimasukkan ke dalam kemaluannya.

