Sebab 8 ladang babi di Paya Mengkuang diarah ditutup
Jabatan Veterinar Melaka telah mengarahkan lapan ladang ternakan babi di Paya Mengkuang, Masjid Tanah, Melaka ditutup kerana penternaknya gagal mematuhi aspek kebersihan yang ditetapkan.
Jabatan Veterinar Melaka telah mengarahkan lapan ladang ternakan babi di Paya Mengkuang, Masjid Tanah, Melaka ditutup kerana penternaknya gagal mematuhi aspek kebersihan yang ditetapkan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Datuk Abdul Rahman Palit, pegawai Jabatan Veterinar negeri telah memaklumkan kepadanya mengenai perkara itu.
"Lapan ladang terbabit, yang menternak kira-kira 8,000 ekor babi, terlalu kotor untuk membolehkan mereka terus beroperasi," kata Abdul Rahman yang juga timbalan pengerusi pemantau mengurangkan ternakan babi di daerah berkenaan.
Beliau diminta mengulas tindakan jabatan berkenaan menghantar notis kepada penternak terbabit supaya menutup ladang ternakan mereka dalam tempoh tujuh hari, berkuatkuasa hari ini.
Tindakan tersebut dikatakan telah menimbulkan rasa tidak puashati di kalangan penternak kerana sebelum ini kerajaan negeri bersetuju membenarkan ternakan babi di di Paya Mengkuang diteruskan, tetapi jumlah keseluruhannya tidak boleh melebihi 48,000 ekor.
Manakala kesemula 25 ladang ternakan babi di luar kawasan Paya Mengkuang - di Mak Lok dan Londang - akan ditutup dan para penternak terbabit akan dibayar pampasan.
Pemindahan babi
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya juga kecewa kerana penternak sengaja melengahkan pengurangan tersebut.
Sehingga Jumaat lalu, katanya, penternak melaporkan kira-kira 31,000 ekor babi atau 30.2 peratus telah dipindahkan dari ladang masing-masing sedangkan kerajaan menjangka ia sudah mencapai lebih 60,000 ekor.
Tetapi menurutnya, angka itu meragukan kerana sering berlaku percanggahan antara angka yang diberikan oleh penternak, dengan angka Jabatan Veterinar.
Para penternak terbabit diberi tempoh hingga 4 Oktober depan bagi mengurangkan jumlah babi dari kira-kira 120,000 kepada 48,000 ekor.
Beliau berkata, penternak sengaja memberi pelbagai alasan seperti kemampuan pusat penyembelihan terhad sedangkan mereka dibenarkan beroperasi 24 jam sehari.
"Mereka juga datang merayu untuk melanjutkan tempoh memindahkan babi tetapi kita menolaknya kerana masa yang diberi sudah cukup," katanya.
Sementara itu, mesyuarat jawatankuasa pemantau Khamis lalu terpaksa dibatalkan berikutan pemimpin MCA tidak hadir.
"Malangnya mereka tidak memberitahu mengapa mereka tidak dapat datang sedangkan kami telah menunggu lama," katanya.

