Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharom berkata, kejadian rusuhan di Batu Buruk pada 8 September lalu adalah kesilapan parti PAS kerana ingkar dengan arahan pihak berkuasa.

Katanya, kejadian itu tidak mungkin terjadi sekiranya PAS mematuhi arahan pihak berkuasa untuk tidak mengadakan ceramah tanpa permit polis, demikian menurut laporan Bernama.

"Mereka sudah tahu permit untuk mengadakan ceramah tidak diluluskan, tetapi PAS tetap degil sehingga mencetuskan ketegangan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.

Dalam kejadian tersebut, tujuh orang cedera, termasuk empat anggota polis. Manakala dua ahli PAS cedera terkena tembakan seorang anggota polis.

Pada awalnya, kata Johari, pasukan polis hanya bertindak untuk meleraikan perhimpunan berkenaan tetapi keadaan bertukar menjadi tegang ekoran tindakan segelintir individu yang tidak mematuhi undang-undang.

Menurutnya, walaupun pihaknya belum mengenal pasti individu yang mencetuskan insiden berkenaan, siasatan sedang diteruskan untuk mendapat bukti yang kukuh sebelum tindakan undang-undang diambil.

"Sehubungan itu kita berharap beberapa individu yang masih belum tampil untuk membantu siasatan kes berkenaan agar menyerah diri," katanya.

Dalam kejadian itu, seramai 500 orang yang dipercayai penyokong parti pembangkang bertindak agresif termasuk membakar Jalur Gemilang setelah diminta bersurai oleh polis dari satu perhimpunan haram.