Kira-kira 2,000 orang berkumpul di kedutaan Burma di Kuala Lumpur pagi ini kerana membantah kekejaman junta tentera negara itu terhadap penunjuk perasaan pro-demokrasi. Mereka kemudian berarak ke kedutaaan Russia dan China untuk mengadakan protes yang sama.

Mereka termasuk anggota masyarakat Burma di negara ini, yang sebahagian besarnya memakai pakaian tradisional sambil melaungkan protes terhadap tindakan ganas junta tentera terhadap penunjuk perasaan anti-kerajaan di negara itu.

"Kami mahu demokrasi," laung mereka yang menyertai protes tersebut di luar bangunan kedutaan China, yang merupakan sekutu rapat Burma.

Mereka juga mendesak supaya Burma disingkirkan daripada menganggotai Asean serta mendesak pembebasan pemimpin pro-demokrasi Burma, Aung San Suu Kyi.

"Kami benci junta. Kami semua mahu mereka ditumbangkan," kata Sandar Su, 19, kepada AFP. Dia membawa pelekat yang menuduh kerajaan junta di Burma sebagai "pembunuh".

Seorang pelajar kolej, yang menurutnya lari dari Burma ketika berusia lima tahun, mendesak tentera asing campurtangan di Burma dan menuduhkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak berkesan dalam menangani keganasan di negara itu.

Menurutnya, pihak junta telah "memperbodohkan PBB untuk mempercayai yang mereka akan membawa perubahan".

Perlu bantuan dunia

Protes yang sama diadakan Jumaat dan Isnin lalu, di mana sekurang-kurangnya 150 aktivis Malaysia mengadakan protes di luar kedutaan Burma, menuntut pihak junta tentera menghentikan penindasannya.

Wakil khas PBB, Ibrahim Gambari, kini berada di Burma atas arahan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon ekoran tindakan ganas junta tentera Burma terhadap penunjuk perasaan anti-kerajaan sejak Rabu lalu.

Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan beratus-ratusnya lagi ditahan.

"Kami berharap pemimpin dunia akan membantu menumbangkan kerajaan tentera itu. Dunia mesti menolong kami," Andy Myo, 30, yang bekerja sebagai pelayan di Malaysia sejak meninggalkan Burma pada 2004.

Myo membawa poster yang berbunyi: "Kami adalah tawanan di negara sendiri"

Manakala Mung, 29, pula berkata, dia tiba di Malaysia Jun lalu untuk mendapatkan status sebagai pelarian.

"Saya tidak mempunyai pekerjaan dan hidup susah. Saya mahu demokrasi," katanya, sambil membawa pelekat yang mengutuk Russia dan China.

Kementerian Luar Russia pada mulanya menyifatkan apa yang berlaku di Burma itu sebagai "masalah dalaman" tetapi mengubah pendirian pada hari Jumaat, dengan menggesa langkah segera diambil untuk menghalang keganasan yang berterusan.

- AFP