Pilihanraya kampus berjalan lancar
Pilihanraya kampus di 17 universiti awam sedang berjalan selepas enam hari berkempen yang dicemarkan dengan dakwaan berlakunya penyelewengan dan intimidasi.
Pilihanraya kampus di 17 universiti awam sedang berjalan selepas enam hari berkempen yang dicemarkan dengan dakwaan berlakunya penyelewengan dan intimidasi.
Sehingga petang ini, proses pengundian berjalan lancar dan tiada kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku.
Sebelum ini, berlaku sedikit kekeliruan di Universiti Malaysia (UM) ekoran kemunculan dua notis palsu.
Notis tersebut, yang ditampal di bangunan kampus, mendakwa beberapa calon telah dibatalkan kelayakan mereka untuk bertanding dalam pilihanraya kampus kali ini.
Notis-notis tersebut memaparkan tandatangan Timbalan Naib Canselor UM, Azarae Idris. Salah satu notis tersebut menyebut, penyertaan 16 calon pelajar - yang didakwa oleh kumpulan 'anti-establishment' sebagai tidak layak - telah dibatalkan.
Manakala satu lagi notis menyatakan bahawa 14 calon dari kumpulan 'anti-establishment' telah dibatalkan kelayakan untuk bertanding kerana melanggar peraturan pilihanraya kampus UM kerana menggunakan media elektronik untuk berkempen.
Pelajar berkenaan telah menyiarkan manifesto dan lagu-lagu kempen mereka di lamanweb Youtube.com. Ini melanggar Seksyen 8, sub-seksyen 46.1 Peraturan Pilihanraya Kampus UM.
Ketika ditemui kemudiannya, Azarae mengesahkan bahawa notis-notis tersebut adalah palsu. Katanya, pihak berkuasa universiti telah mengeluarkan satu lagi notis untuk memperjelaskan perkara tersebut.
Pengundian elektronik
Pengundian di UM bermula jam 9 pagi. Walaupun kelas telah dibatalkan tetapi tidak ramai pelajar yang keluar mengundi. Proses pengundian dijangka berakhir jam 4.30 petang dan pengiraan undi akan bermula jam 7.30 malam.
Bagi Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula, pengundian akan berakhir jam 5 petang.
Hanya UPM dan UIA yang menggunakan sistem pengundian elektronik dalam pilihanraya kampus. Tahun lalu, terdapat aduan mengenai masalah teknikal, tetapi kali ini ianya berjalan lancar.
Kumpulan pelajar telah mengkritik sistem pengundian elektronik ini kerana ia tidak telus dan terdedah kepada penipuan.
Pada tahun 2005, kumpulan 'anti-establishment' di lima universiti awam telah memboikot pilihanraya kampus tahun berkenaan.

