Kerajaan Negeri Melaka bersetuju untuk melanjutkan tarikh akhir pemindahan lebihan ternakan babi di Paya Mengkuang, Alor Gajah, Melaka sehingga 31 Mac tahun depan.

Sebelum ini, penternak di kawasan berkenaan diberi tempoh hingga Khamis ini (4 Oktober) untuk mengurangkan jumlah ternakan mereka kepada 48,000 ekor.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa khas kabinet mengenai isu babi, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pagi tadi.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yasin; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Seri Abu Seman Yusop; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting; Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Fong Chan Onn yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah.

Mesyuarat itu juga untuk bersetuju melanjutkan tempoh bagi 24 ladang ternakan babi di luar kawasan Paya Mengkuang - iaitu di Bukit Beruang, Man Lok dan Londang dekat Alor Gajah - ditutup sehingga 31 Disember depan.

Bagaimanapun, semua penternak di semua kawasan terbabit, termasuk Paya Mengkuang, dikehendaki menjual babi jantan mereka dalam tempoh tujuh hari, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Fong hari ini.

Percepat ambilalih

Menurut kenyataan itu lagi, Kerajaan Negeri Melaka juga bersetuju untuk mempercepatkan proses pengambilalihan tanah dan semua kemudahan di 24 ladang ternakan babi terbabit.

Manakala lapan ladang ternakan babi dalam kawasan Paya Mengkuang yang belum meningkatkan kemudahannya diarahkan menjual kesemua 13,000 ekor babi sebelum 31 Disember ini.

Ini adalah kali kedua kerajaan negeri Melaka bersetuju melanjutkan tempoh bagi penternak babi membawa keluar ternakan masing-masing dari semua kawasan berkenaan.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah melanjutkan tempoh tersebut dari 21 September kepada 4 Oktober.

Pada 4 September lalu, kerajaan negeri juga menangguhkan operasi untuk memusnahkan lebihan ternakan babi di kawasan berkenaan, setelah MCA berjanji untuk mengurangkan sendiri jumlah ternakan itu kepada 48,000 ekor.