Mukhriz nafi khabar angin bapanya semakin teruk
Anak bongsu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Mukhriz meminta orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin mengenai kesihatan bapanya yang dikatakan kononnya semakin teruk.
Anak bongsu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Mukhriz meminta orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin mengenai kesihatan bapanya yang dikatakan kononnya semakin teruk.
Sambil menafikan khabar angin yang banyak disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), beliau berkata keluarganya tidak akan sama sekali menyembunyikan atau berbohong mengenai keadaan sebenar dan kesihatan bapanya.
Mukhriz berkata orang ramai sepatutnya mengikuti perkembangan kesihatan Dr Mahathir melalui media dan kenyataan daripada Institut Jantung Negara (IJN) serta blog kakaknya Datin Paduka Marina iaitu
www.rantingsbymm.blogspot.com
yang mencatatkan mengenai perkembangan bapanya setiap hari, demikian menurut laporan Bernama.
"Saya pun agak hairan juga kenapa boleh tersebarnya berita sebegini kerana pihak IJN pun ada keluarkan kenyataan, dan bagi pihak keluarga, kakak saya melalui blognya selalu memberi update," katanya kepada pemberita apabila diminta mengulas mengenainya.
Apabila ditanya adakah penghantar SMS itu mempunyai niat tertentu, Mukhriz berkata: "Tak tahulah mungkin ada niat yang kurang baik. Tapi yang menghairankan saya ialah tabiat kita yang suka `forward' SMS kepada pihak lain tanpa memeriksa asal-usul."
Dr Mahathir, 81, menjalani pemindahan jantung kedua pada 4 September lalu. Beliau menjalani pembedahan pintasan jantung buat pertama kalinya di Hospital Kuala Lumpur pada 24 Januari 1989 akibat serangan jantung.
Pada malam 22 September lalu, Dr Mahathir menjalani pembedahan membersihkan luka akibat jangkitan kuman dan sehingga ini beliau masih berada di Unit Penjagaan Rapi dengan keadaan kesihatannya yang semakin baik dari sehari ke sehari.
Anak sulungnya Marina melalui blognya berkata khabar angin itu tercetus mungkin kerana bapanya masih menggunakan bantuan alat pernafasan pada hari ketiga selepas menjalani pembedahan membesihkan luka.
Sambutan hari raya
Ketika ditanya bila agaknya Dr Mahathir akan dibenarkan pulang, Mukhriz berkata itu terpulang kepada pakar-pakar di IJN untuk memutuskan.
"Buat masa ini, kita hanya boleh berharap yang terbaik, fokus kita sekarang ini ialah memastikan bila dia boleh keluar dari hospital nanti, (dia) dalam keadaan yang cukup sihat dan mendapat rawatan yang terbaik di IJN," katanya.
Sambil mengharapkan orang ramai terus berdoa agar bapanya cepat sembuh, Mukhriz berkata dengan kelengkapan dan kemudahan yang ada di IJN, Dr Mahathir akan mendapat perhatian yang secukupnya berbanding jika beliau balik ke rumah yang kurang kelengkapan.
Mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri, Mukhriz berkata keluarganya tidak menggalakkan orang ramai melawat bapanya pada hari mulia itu kerana merasakan ia tidak sesuai.
"Saya kira mungkin tak sesuai (melawat Dr Mahathir), mungkin lebih elok kita boleh tunggu sehingga dia benar-benar pulih dan balik ke rumah, kalau kita boleh buat kenduri syukur waktu itu (orang ramai) dialu-alukan," katanya.
Mukhriz berkata ibunya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang setia menemani Dr Mahathir sejak 2 September lalu hanya keluar dari IJN sekali sahaja untuk menghadiri majlis berbuka puasa di rumah abangnya Datuk Mokhzani selain bertemu ahli keluarga dan cucu.
Apabila ditanya mengenai tahap kesihatan Dr Mahathir, Mukhriz berkata beliau berpuas hati dengan perkembangan kesihatan bapanya, dan menurutnya para doktor kini memfokuskan kepada usaha mengembalikan kekuatan tubuh badan Dr Mahathir.
"Buat masa ini mereka (doktor) tidak terlalu cerewet tentang apa yang dimakan bapa setiap hari. Dia perlukan 2,000 kalori setiap hari. Buat masa ini mereka benarkannya, selepas dua bulan nanti nereka akan lihat kepada dietnya," katanya.

