Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) kesal dengan beberapa akhbar dan media tempatan semalam yang melakukan kesilapan dengan menerbitkan foto Setiausaha Eksekutif Abim, Azwiralbukhairi Ab Aziz sebagai salah seorang daripada empat lelaki yang ditahan berhubung kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin.

"Memandangkan ini adalah kes berprofil tinggi dan mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia, maka penyiaran gambar tersebut (foto) sebagai salah seorang suspek, telah menjatuhkan reputasi beliau sebagai aktivis belia dan masyarakat, lebih-lebih beliau berkhidmat di bawah organisasi seperti Abim," katanya Setiausaha Agung Abim, Khairul Arifin Mohd Munir.

Oleh yang demikian, beliau meminta pihak media yang terlibat, supaya membuat pengumuman ralat serta merta berhubung kesilapan tersebut.

(Nota: Inilah gambar Azwiralbukhairi yang telah disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia. G ambar tiga orang lagi yang telah dibebaskan, telah kami kelabukan. AKhbar berkenaan telah menyiarkan ralat dan memohon maaf serta menyatakan rasa kesalnya di atas kesilapan tersebut di muka 4 (Dalam Negeri) hari ini).

Dalam satu kenyataan, Khairul Arifin menjelaskan, sebenarnya ketika itu, Azwiralbukhairi sedang menziarahi dan membantu keluarga salah seorang pemuda yang dibebaskan oleh polis.

Empat lelaki tersebut ditahan polis Khamis lalu bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin.

Bagaimanapun, mereka dibebaskan Isnin lalu dengan jaminan polis kerana pihak polis tidak mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa mereka.

'Jangan ulangi'

Ujian DNA yang dibuat ke atas mereka berempat tidak sepadan dengan DNA yang ada pada mayat Nurin.

"Peristiwa yang menimpa Allahyarham adik Nurin memang menyentuh perasaan seluruh rakyat Malaysia. Justeru itu menjadi harapan kepada semua pihak agar pihak yang terbabit dengan pembunuhan kes tersebut dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin," kata Khairul Arifin lagi.

Bagaimanapun, katanya, dalam keghairahan mendapatkan berita terhadap kes ini, pihak media perlu beretika agar tidak menjejaskan perasaan keluarga Allahyarham Nurin serta mereka yang tidak bersalah.

"Seterusnya pihak media diminta agar tidak akan mengulangi kesilapan membabitkan beliau atau mana-mana orang awam yang tidak bersalah sama ada dalam bentuk akhbar atau dalam bentuk yang lain pada masa-masa akan datang.

"Kami juga meminta pihak media agar mengambilkira dengan serius teguran Ketua Polis Negara agar media berhati-hati dalam membuat liputan dan semua maklumat berhubung kes ini perlu mendapat pengesahan daripada pihak polis.

"Tidak dapat dinafikan peranan media ini amat penting khususnya dalam kes ini kerana masyarakat inginkan perkara yang sebenarnya berlaku. Namun media perlu bertanggungjawab dan teliti dalam mendapatkan kesahihan sumber maklumat tersebut," kata Khairul Arifin.