Nazir: CIMB berhasrat berkembang ke peringkat serantau
Kumpulan CIMB - bank kedua terbesar di Malaysia - berhasrat untuk berkembang di peringkat serantau, dengan rancangan untuk mengambilalih 20 peratus pegangan dalam ACL Bank, Thailand.
Kumpulan CIMB - bank kedua terbesar di Malaysia - berhasrat untuk berkembang di peringkat serantau, dengan rancangan untuk mengambilalih 20 peratus pegangan dalam ACL Bank, Thailand.
Ketua pegawai eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Nazir Razak berkata langkah untuk memasuki perniagaan perbankan komersial Thailand akan melengkapkan perniagaan pembrokeran kumpulan yang berjaya dalam negara itu, selain hasratnya untuk berkembang di peringkat serantau.
"Kami berkeyakinan dengan masa depan di Thailand," katanya hari ini.
Kumpulan CIMB juga merupakan pemberi pinjaman kedua terbesar Malaysia, demikian menurut laporan Bernama.
"Kami bukan pelabur kewangan, kami adalah pelabur strategik. Hasrat kami ialah untuk menambahkan pegangan itu. Kami tidak akan membeli (pegangan daripada Bangkok Bank) dan tetap pada 20 peratus," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen CIMB "Dream, Deposit, Drive".
Bangkok Bank menyatakan bahawa ia menjangka menjual 19.26 peratus pegangannya dalam ACL Bank pada akhir tahun bagi mematuhi peraturan bank pusat, yang tidak membenarkan bank-bank Thailand menguasai pegangan lebih 10 peratus dalam firma dalam sektor berkenaan.
Kedudukan baik
Sebagai pemberi pinjaman terkecil Thailand, ACL Bank mempunyai permodalan pasaran hanya lebih RM1 bilion.
"CIMB berhasrat untuk memiliki sebanyak mungkin saham ACL ... kerana kami mahu ACL menjadi sebahagian CIMB", kata Nazir.
Beliau berkata CIMB juga berminat untuk membeli 30.6 peratus pegangan majoriti yang dikuasai Kementerian Kewangan Thailand.
"Kami mahu meneliti untuk membeli pegangan kementerian, apabila mereka bersedia untuk menjualnya," kata beliau.
Menurut laporan baru-baru ini, kerajaan Thailand merancang perubahan perundangan menjelang akhir tahun bagi menambahkan had pemilikan asing dalam bank negara itu kepada 49 peratus daripada 25 peratus sekarang ini sebagai usahanya untuk meningkatkan daya saing pasaran kewangan.
Nazir berkata buat masa ini CIMB dalam kedudukan yang sama sebagai pembida pemberi pinjaman lain, Industrial and Commercial Bank of China Ltd (ICBC), bagi saham ACL Bank.
"ICBC merupakan bank terbesar dunia (dari segi nilai pasaran), tetapi kami amat berharap," katanya.

