Pengambilan pekerja dari Bangladesh telah dibekukan berkuatkuasa serta merta kerana ia mendatang pelbagai masalah kepada negara.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.

Katanya, kini terdapat 200,000 pekerja Bangladesh di Malaysia dan 100,000 lagi dijangka datang kerana telah diluluskan permohonan kemasukan mereka sebelum ini.

Menteri itu menjelaskan bahawa pembekuan tersebut adalah bagi permohonan baru, demikian menurut laporan Bernama.

Menurutnya, pengambilan pekerja Bangladesh mewujudkan situasi begitu ramai pekerja dan ejen dari negara itu yang membanjiri Malaysia.

"Terlampau banyak cerita tentang wang yang dibelanjakan oleh ejen yang menyebabkan keadaan tidak begitu elok.

"Mereka menggunakan rakyat Malaysia sebagai wakil ejen dan (membabitkan) duit yang banyak...ia menjadikan satu keadaan yang tidak sihat dan tidak baik bagi negara"," katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

Pekerja asing

Beliau berkata, kini terdapat 10 negara termasuk Indonesia, Thailand, Kemboja, Myanmar, Sri Lanka, Vietnam, Nepal dan Laos yang membekalkan pekerja kepada Malaysia.

Kerajaan berpendapat adalah memadai untuk bergantung kepada tenaga kerja dari negara berkenaan.

"Jadi buat sementara ini, kita bekukan (pekerja Bangladesh)," katanya.

Selain itu, katanya, Malaysia juga ada menandatangani memorandum persefahaman dengan beberapa negara lain seperti Kazakhstan bagi pengambilan pekerja.

Tetapi yang paling popular, katanya adalah pekerja dari Indonesia, India dan Filipina.

Sebelum ini, katanya, Malaysia pernah membekukan pekerja dari Bangladesh pada tahun 1999 kerana menimbulkan pelbagai masalah.

Selain masalah yang ditimbulkan oleh ejen, beliau berkata, pekerja Bangladesh juga menimbulkan pelbagai masalah sosial.

Sementara itu, katanya setakat ini kerajaan telah meluluskan 239 lesen kepada ejen pekerja asing yang mana 40 daripadanya didapati tidak beroperasi dan lesen mereka telah dibatalkan.

Mohd Radzi berkata ejen yang didapati tidak beroperasi akan diberikan surat tunjuk sebab terlebih dahulu sebelum tindakan selanjutnya diambil.