Pohon pasport M'sia hanya guna cap jari
Mulai 1 Disember ini, permohonan baru atau memperbaharui pasport antarabangsa di Jabatan Imigresen di seluruh negara hanya memerlukan cap jari pemohon tanpa perlu mengisi borang permohonan.
Mulai 1 Disember ini, permohonan baru atau memperbaharui pasport antarabangsa di Jabatan Imigresen di seluruh negara hanya memerlukan cap jari pemohon tanpa perlu mengisi borang permohonan.
Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) Tan Sri Aseh Che Mat berkata pemohon hanya perlu membawa gambar saiz pasport terkini ketika membuat permohonan dan akan mendapat pasport tersebut pada hari yang sama.
Menurutnya, kaedah permohonan tanpa kertas ini dapat dilakukan kerana Jabatan Imigresen kini mempunyai sistem yang disambungkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang membolehkan identiti pemohon disahkan dengan segera
Aseh memberitahu pemberita demikian selepas majlis penyerahan kuih-muih Hari Raya kepada kakitangan dan pegawai Jabatan Imigresen Sarawak di Kuching hari ini, demikian menurut laporan Bernama.
"Sistem ini boleh dilaksanakan di Semenanjung sekarang tetapi kita mahu kalau boleh dan sesuai ia dilaksanakan serentak di seluruh negara," katanya.
Aseh berkata pemohon di Sarawak dan Sabah yang ingin memohon pasport baru atau memperbaharuinya kini boleh mendapatkan pasport tersebut pada hari yang sama.
Kompleks baru
"Mulai 1 Okt lalu, Jabatan Imigresen juga mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan pasport dalam tempoh satu hari di seluruh negara termasuk Sarawak dan Sabah," katanya sambil menambah sebelum ini pengeluaran pasport segera hanya terhad di Semenanjung.
Beliau berkata sebuah bangunan kompleks mini yang menempatkan agensi dan jabatan KHEDN di Sarawak akan dibina di Kuching dengan kos pembinaan dijangka berjumlah RM60 juta dan pembinaan dijangka bermula tahun depan.
"Kita telah kenal pasti tapak seluas 5.6 hektar di Petra Jaya tidak jauh dari Pusat Pakar Perubatan Normah dan kini dalam proses untuk membeli tanah tersebut daripada kerajaan negeri Sarawak," katanya.
Beliau berkata apabila siap nanti pejabat Jabatan Imigresen, Ikatan Relawan Rakyat (Rela), JPN dan Pertubuhan akan ditempatkan di bawah satu bumbung bagi meningkatkan lagi urusan pentadbiran.
Beliau berkata setakat ini kompleks mini KHEDN terdapat di Pahang, Perak, Melaka dan Pulau Tioman.

