Akhirnya Tee Hui Yee dapat penderma jantung
Akhirnya, Tee Hui Yee, 14, mendapat penderma jantung dan selesai menjalani pembedahan pindahan jantung tengahari ini di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.
Akhirnya, Tee Hui Yee, 14, mendapat penderma jantung dan selesai menjalani pembedahan pindahan jantung tengahari ini di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.
Hui Yee menerima jantung tersebut dari penderma berusia 15 tahun yang terkorban dalam kemalangan jalanraya di Ipoh, Perak semalam.
Hui Yee, 14, sejak setahun lalu, telah membuat rayuan untuk mendapatkan jantung baru sebelum jantung mekanikalnya berhenti berfungsi September tahun depan.
Malam semalam seramai 13 pegawai dan jururawat IJN diterbangkan ke Hospital Ipoh oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk membuat pembedahan organ ke atas penderma itu.
Penderma tersebut bukan sahaja menderma jantungnya, tetapi turut menderma paru-paru, hati dan buah pinggang yang dipersetujui oleh anggota keluarga dan warisnya, demikian menurut laporan Bernama.
Ekoran itu, satu lagi pembedahan pemindahan paru-paru yang didermakan itu turut dijalankan ke atas seorang pesakit berumur 39 tahun.
'Agak berisiko'
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di IJN hari ini sebelum itu menghadiri majlis taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif IJN Razif Mohd Yunus dan Pengarah Perubatan Datuk Seri Dr Robayah Zambahari mengenai pembedahan pindahan jantung Hui Yee.
Dr Chua berkata pembedahan ke atas Hui Yee itu agak berisiko kerana remaja itu bergantung kepada jantung mekanikal sejak setahun lalu,
"Akibat terlalu lama menunggu, ia telah menjejaskan kesihatan Hui Yee dan selera makannya semakin kurang," katanya.
Dr Chua turut melahirkan rasa bangganya kerana akhirnya Hui Yee mendapat seorang penderma jantung serta amat berterima kasih dengan keluarga penderma yang merupakan satu contoh yang amat baik di negara ini.
"Ahli keluarga penderma itu memohon agar namanya dirahsiakan dan kita hormati kehendak mereka," katanya.
"Dalam kes ini (Hui Yee), merupakan contoh terbaik di mana keluarganya mempunyai hasrat murni dan bersetuju untuk menjadi penderma, saya harap rakyat Malaysia sedar jika tiada penderma, ramai pesakit yang menunggu organ akan mati," kata Menteri itu.
Pada masa ini, katanya, negara memerlukan kira-kira 1,200 buah pinggang, 450 jantung, 200 hati dan 450 kornea setahun untuk menyelamatkan nyawa pesakit.
Derma organ
Dr Chua yang turut melahirkan terima kasih kepada media yang memberi publisiti meluas mengenai Hui Yee baru-baru ini, berkata publisiti itu secara tidak langsung mewujudkan kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya pendermaan organ.
Kementerian akan mempergiatkan lagi promosi dan kesedaran orang ramai terhadap pendermaan organ, terutama dalam menyakinkan anggota keluarga atau
waris yang kebanyakannya menentang pendermaan organ, katanya.
Beliau berkata setiap prosedur dan urusan penderma dan penerima organ dijalankan dengan penuh profesional dan mengikut etika.
Katanya, satu daripada masalah yang dihadapi oleh kementerian itu ialah walaupun ramai yang berjanji untuk mendermakan organ mereka, tetapi bila mereka meninggal dunia, anggota keluarga mereka tidak bersetuju.
"Sehingga Jun lalu seramai 108,000 orang telah berjanji untuk mendermakan organ, bagaimanapun pada tahun lepas hanya 25 orang sahaja yang menderma kerana di saat akhir ahli keluarga tidak bersetuju," katanya.
Beliau berkata kebanyakannya kerana soal agama dan budaya, walaupun di negara ini tiada agama yang menghalang seseorang menderma organ.
Setakat ini daripada 108,000 yang setuju mendermakan organ, sebanyak 62 peratus terdiri daripada Cina, 23 peratus India, 12 peratus Melayu dan bakinya kaum lain, dengan 54 peratus terdiri daripada wanita dan selebihnya lelaki.

