Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bersetuju dengan Laporan Ketua Audit Negara bahawa Kementerian Belia dan Sukan telah membeli barangan untuk Institut Kemahiran Belia Negara (KKBN) tahun lalu pada harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

Selepas bermesyuarat selama empat jam dengan pegawai kementerian berkenaan di bangunan Parlimen hari ini, Pengerusi PAC, Datuk Shahrir Samad berkata, ia berlaku kerana kurang penyeliaan daripada pegawai yang bertanggungjawab.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohd Yasin Salleh mengetuai para pegawainya yang menemui PAC pagi ini.

Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, menggesa Kementerian Kewangan mencari jalan supaya pegawai yang bertanggungjawab terhadap pembelian tersebut, membayar balik lebihan perbelanjaannya.

Menurutnya, Kementerian Kewangan boleh melakukannya melalui potongan gaji pegawai terbabit sehingga dia selesai membayar balik jumlah tersebut.

Shahrir juga mahu Kementerian Belia dan Sukan mengemukakan senarai projek-projek yang membabitkan rundingan terus, kepada PAC.