Menteri Pelancongan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengelak menjawab soalan sama ada beliau bersedia tampil secara sukarela untuk memberi keterangan kepada panel bebas yang menyiasat ketulenan klip video perbualan peguam Datuk VK Lingam.

"Tulis tentang (majlis) ini dulu. Saya akan bercakap mengenainya pada masa lain," katanya ketika mahu beredar selepas melancarkan Kembara Bernama dengan kerjasama Tourism Malaysia di Pusat Pelancongan Malaysia di Kuala Lumpur.

"Itulah sebabnya saya tak mahu adakan sidang akhir (lepas majlis tersebut). Kerana saya tahu ada perkara lain (yang media akan tanya)," katanya.

Tengku Adnan adalah antara beberapa nama yang disebut dalam perbualan Lingam melalui telefon, dalam video klip tersebut, yang didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim.

Klip video itu diedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa perbualan dalam rakaman adalah untuk mengatur pelantikan hakim-hakim.

Ekoran itu, kerajaan telah menubuhkan panel bebas tiga anggota, yang diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor, untuk menyiasat kesahihan klip video tersebut,

Selepas mesyuarat pertama panel tersebut semalam, Haidar meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenainya supaya tampil memberi keterangan secara sukarela.

Lingam dikatakan menyebut nama Tengku Adnan sebanyak sembilan kali dalam klip video selama lapan minit yang didakwa dirakam pada tahun 2002.

Berdasarkan kepada perbualan tersebut, Lingam membayangkan bahawa Tengku Adnan ada memainkan peranan untuk mendapatkan gelaran 'Tan Sri' untuk Ahmad Fairuz.

Pada masa itu, Tengku Adnan adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal perundangan.

Sebelum ini, Tengku Adnan telah menafikan perkara tersebut. Berita asal