Mahkamah Tinggi Melaka menolak dengan kos permohonan dua penternak babi untuk membatalkan notis pengurangan jumlah ternakan dan merobohkan kandang babi yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Alor Gajah (MDAG).

Hakim Mohtarudin Baki memerintahkan dua penternak babi, Lim Oh Poh dan Ye Kim On, membayar kos setelah mendengar hujah kes.

Lim dan Ye diwakili peguambela Gideon Tan dan Teoh Nie Ching manakala Datuk D P Naban dan Vijay Kumar mewakili MPAG. Kerajaan negeri Melaka pula diwakili Penasihat Undang-undang Negeri Melaka, Siti Zainab Omar.

Lim dan Ye telah memfailkan permohonan itu pada 20 September lalu supaya notis MPAG untuk merobohkan kandang babi di Bukit Beruang, Paya Mengkuang dan Bukit Bumbun, dibatalkan, demikian menurut laporan Bernama.

Dalam hujahnya, Tan berkata anak guamnya telah memulakan ternakan dengan lima ekor babi pada 1966 dengan galakan kerajaan negeri Melaka ketika itu.

Beliau berkata walaupun lesen untuk ternakan itu dihentikan pada 1992 namun Jabatan Haiwan masih memeriksa dan memantau ternakan.

"Secara rasmi anak guam saya juga tidak pernah menerima notis untuk mengurangkan jumlah ternakan yang sepatutnya dihantar secara individu kepada semua penternak," katanya sambil mendakwa jumlah pengurangan dan operasi yang dilakukan oleh kerajaan negeri hanya diketahui menerusi laporan akhbar.

Pencemaran

Beliau juga berkata pencemaran yang dikatakan berlaku oleh ternakan babi hanya diterima menerusi aduan oleh Pejabat Agama Islam Negeri Melaka dan bukannya oleh Jabatan Alam Sekitar.

"Ternakan babi adalah satu industri, dan notis oleh MPAG untuk mengurangkan jumlah ternakan dan merobohkan kandang adalah satu tindakan tidak adil bagi penternak di kawasan itu," katanya.

Naban dalam hujahnya pula berkata MPAG tidak berniat untuk merobohkan kandang dan memusnahkan ternakan walaupun pada 4 Sept lepas, beberapa jentolak digunakan untuk operasi ketika itu.

Pada 4 September lalu, kerajaan Melaka melalui pelbagai jabatan dan agensi berkaitan mengadakan operasi untuk memusnahkan lebihan jumlah babi di Paya Mengkuang, Bukit Beruang dan Man Lok.

Bagaimanapun, operasi itu ditangguhkan setelah setelah mendapat bantahan penternak dan campurtangan saat akhir oleh kerajaan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebelum itu dilaporkan mengeluarkan arahan untuk mengurangkan jumlah bilangan babi kepada 48,000 ekor daripada lebih 140,000 ekor berikutan pencemaran dan bau akibat kegiatan ternakan selama hampir 50 tahun.

Penduduk di sekitar kawasan itu telah mengadakan piket dan menghantar memorandum bantahan kepada kerajaan negeri mendakwa tidak tahan menanggung bau busuk najis babi.