Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Kong hari ini mencadangkan supaya semua 14 parti komponen Barisan Nasional (BN) digabungkan bagi mencapai perpaduan nasional.

Dalam ucapan dasarnya di persidangan pergerakan tersebut hari ini, Mah berkata, masanya sudah tiba bagi semua parti komponen BN digabung menjadi menjadi satu parti - Parti BN.

Ketua Pemuda Umno yang juga pengerusi Pemuda BN, Datuk Hishammuddin Hussein turut hadir di majlis tersebut.

Cadangan Mah itu mendapat tepukan gemuruh para perwakilan yang hadir. Hishammuddin kelihatan mengangguk kepalanya tetapi tidak bertepuk bersama yang lain.

Menurut Mah, penubuhan satu parti daripada gabungan semua parti komponan BN itu memerlukan banyak usaha, komitment dan kerjasama semua pihak.

Katanya, walaupun perbincangan ke arah itu akan memakan masa bertahun-tahun tetapi beliau menegaskan bahawa Pemuda Gerakan percaya, selepas 50 tahun kemerdekaan, langkah pertama harus diambil ke arah itu.

Mah juga mengecam parti-parti pembangkang, yang didakwanya telah memutarbelitkan isu-isu semasa untuk meraih undi. Beliau meramalkan pilihanraya umum akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya, pembangkang hanya berminat untuk menang tanpa mengambilkira kepentingan negara, dengan membangkitkan isu-isu berkauman dan sentimen agama.

Menurutnya, DAP akan memainkan sentimen kaum Cina manakala PAS pula akan memainkan sentimen Melayu menjelang pilihanraya umum akan datang.

PKR pula, katanya, akan memainkan sentimen kedua-dua kaum tersebut untuk meraih undi.

Berikut adalah teks ucapan Mah

Pilihanraya umum yang ke-12 akan diadakan tidak lama lagi. Pemuda Gerakan perlu berkhidmat dan bekerja keras dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Di samping itu pula, dalam kawasan pilihanraya yang tidak ada wakil rakyat daripada Parti Gerakan, organisasi Pemuda telah diarahkan untuk bekerjasama dengan Umno, MCA, MIC, PPP serta semua parti komponen di Sabah, Sarawak bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum akan datang.

Kita tidak boleh menafikan bahawa pilihanraya umum akan datang bukannya pilihanraya yang mudah dengan berlandaskan beberapa kaji selidik yang telah dijalankan. Parti lawan akan pandai memutar belit, memburuk-burukkan dan mengeksplotasikan isu-isu semasa.

Parti lawan akan berusaha mencari kemenangan tanpa mengira kepentingan negara sehingga bersedia membangkitkan sentimen perkauman dan agama untuk menimbulkan perasaan tidak puas hati di antara kaum.

Parti DAP akan bekerjasama dengan PAS melalui penjodoh atau "match maker" mereka iaitu Parti Keadilan. DAP akan memainkan sentimen orang Cina manakala PAS akan memainkan sentimen orang Melayu.

Keadilan akan memainkan kedua-kedua sentimen tersebut. Ini merupakan perikatan yang tidak suci tanpa matlamat jangka masa panjang. Mereka hanya bermatlamat untuk kepentingan pilihanraya umum sahaja.

Pemuda perlu menerangkan kepada rakyat jelata bahawa Barisan Nasional merupakan pilihan yang terbaik untuk kepentingan rakyat jelata dan negara.

Kerajaan Barisan Nasional bukan sempurna 100% tetapi perkara yang lebih penting adalah Barisan Nasional adalah satu pakatan yang bersatu padu dan kerajaan yang berkebolehan.

Masa hadapan kerajaan di bawah pimpinan pakatan ketiga-tiga parti pembangkang yakni PAS, DAP dan Keadilan adalah amat membimbangkan.

Saya ingin menyeru saudara agar tidak terpedaya dengan janji-janji manis yang diketengahkan oleh pemimpin-pemimpin parti pembangkang. Tingkatkan persiapan, tingkatkan semangat untuk menghadapi cabaran pilihanraya umum akan datang.

Saudara dan Saudari,

Kita baru sahaja meraikan Hari Kemerdekaan yang ke-50 dan sepanjang 50 tahun ini, negara kita telah menikmati pembangunan dalam pelbagai aspek.

Perangkaan pendapatan isI rumah semakin memberangsangkan dengan peningkatan daripada RM199 kepada RM3,011 sebulan. Kadar kemiskinan telah merosot daripada 52.4% pada tahun 1970 kepada 5.1% sekarang.

Dengan peluang pendidikan yang bertambah banyak, kadar celik huruf meningkat daripada 50.8% ketika kita baru merdeka kepada 93.5% hari ini. Namun, apakah akan terjadi pada 50 tahun akan datang iaitu pada tahun 2057?

Kita boleh lihat beberapa negara seperti Philipina, Myanmar dan Sri Lanka di mana mereka mempunyai pendapatan per kapita yang lebih tinggi dari Korea dan China pada 50 tahun tetapi sekarang ketinggalan belakang berbanding dengan negara lain.

Negara-negara seperti India, China, Vietnam, Thailand telah bermula meningkatkan pertumbahan ekonomi dalam beberapa tahun ini. Dalam tempoh 50 tahun akan datang, bagaimana kedudukan negara kita?

Kita mesti belajar daripada sejarah, mengapa ada negara yang berjaya dan ada yang gagal. Faktor yang utama adalah perpaduan di kalangan rakyat. Semua rakyat mesti Satu Hati untuk memastikan Malaysia adalah yang terbaik daripada negara-negara lain.

Kita tidak boleh membuang tenaga dan bertelagah sesama sendiri. Kita perlu menggunakan tenaga yang ada untuk menandingi China, Vietnam, Thailand.

Kita mesti bekerjasama untuk membina kek yang lebih besar. Pada masa yang sama, kita perlu memastikan setiap rakyat Malaysia akan menikmati kek itu terutamanya dari golongan miskin tanpa mengira kaum.

Kita hidup di dalam dunia yang bergerak cepat, sangat berubah dan sentiasa bersaing. Saya teringat semasa berbual dengan Menteri Perdangangan Finland. Finland dianggap salah satu negara yang competitive sekali di dunia dan mengeluarkan produk telefon Nokia.

Beliau menyatakan bahawa sebab utama yang negaranya berjaya adalah kerana kerjasama yang diberikan oleh kakitangan kerajaan untuk memberi perkhidmatan dan sokongan kepada pengusaha-pengusaha mereka.

Namun, kita masih menerima banyak aduan daripada peniaga kecil kepada pelabur besar. Kita masih menghadapi masalah ketidakcekapan birokrasi, "little napolean" dan rasuah.

Kita tahu masih ada pegawai yang terlibat dalam rasuah dan selalu membangkitkan masalah kepada rakyat. Tetapi berapa ramai yang telah dipecat sehingga hari ini?

Tun Haniff, bekas Ketua Polis Negara mengakui bahawa masih terdapat segelintir pegawai-pegawai atasan polis yang menerima rasuah. Ini tidak boleh berterusan.

Pemuda Gerakan menyeru Kerajaan mengambil tindakan serta merta untuk menangani masalah rasuah dan ketidakcekapan. Jika amaran tidak memadai, kami cadangkan tindakan pemecatan diambil.

Jika kita tidak berbuat demikian, tidak akan ada apa-apa perubahan. Saya telah mengenali Tan Sri Sidek semasa saya di MITI dan Tan Sri KSN adalah seorang yang berintegriti dan berdisiplin.

Pemuda Gerakan telah menulis memorandum kepadanya bagi memastikan tindakan diambil ke atas pegawai yang menyeleweng serta meningkatkan intergriti di kalangan kakitangan kerajaan.

Mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2006, masalah pembaziran semakin meruncing. Sebagai contoh, Jabatan Kebajikan Raub membayar RM101,000 kepada 33 orang yang telah meninggal dunia, di Bentong pula ada bayaran RM11,279 kepada 3 orang yang meninggal dunia. Tindakan perlu diambil serta merta bagi menghentikan sebarang pembaziran.

Walaun bagaimanapun, saya memuji Kerajaan kerana kesanggupan mendedahkan kesemua penyelewengan atau kesalahan pengurusan kewangan. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan adalah telus dan ini merupakan satu langkah yang positif.

Pak Lah sentiasa bangkitkan masalah rasuah. Pemuda Gerakan menyokong sepenuh pendirian Pak Lah menentang rasuah. Gerakan menyeru kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai yang telah menyeleweng duit rakyat dan kita hendak menunjukkan bahawa "Enough is enough and we mean business".

Saudara dan Saudari,

Pemuda Parti Gerakan percaya dengan sepenuhnya bahawa perpaduan nasional adalah kunci utama kejayaan kita di masa hadapan. Jika kita berlaga sesama kita sendiri, negara kita akan ketinggalan jauh di belakang. Bak kata pepatah "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh, berbelah kita hancur, bergaduh kita sungkur".

Pemuda Gerakan menyeru semua pihak terutama parti pembangkang supaya menghentikan amalan politik yang memecahkan perpaduan di antara kaum dan akhirnya merugikan semua kaum dan negara.

Adakah kita terdesak sehingga sanggup menghancurkan keamanan yang telah kita binakan selama ini dengan menaburkan fitnah serta menanamkan rasa kebencian rakyat jelata terhadap kerajaan? Masa hadapan serta perpaduan nasional negara kita adalah jauh lebih penting dan juga lebih bernilai daripada memenangi lebih banyak kerusi.

Amalan politik yang terlalu agresif atau politik yang berlebihan haruslah dihentikan. Saya percaya tidak kira kita datang daripada parti-parti mana pun, tetapi agenda perpaduan national adalah agenda utama parti dan juga agenda wawasan negara.

Sehubungan dengan ini, walaupun para-para perwakilan bebas mengutarakan pendapat di dalam Persidangan Perwakilan ini tetapi saya selaku Ketua Pemuda ingin menasihati kepada semua saudara-saudara perwakilan agar tidak membangkitkan isu-isu sensitif atau perkauman yang akan menimbulkan suasana tegang dan huru hara.

Saya juga menyeru supaya ahli-ahli pemuda Gerakan janganlah hanya menjadi hero kepada sesuatu kaum sahaja. Janganlah jadi hero anak Cina sahaja, janganlah jadi hero anak Melayu sahaja, janglah jadi hero anak India sahaja. Saya mahukan semua ahli-ahli pemuda Gerakan menjadi hero untuk semua kaum, hero anak Malaysia dan hero kepada negara Malaysia.

Saudara dan Saudari,

Sudah sampai masanya untuk kesemua 14 buah parti politik di dalam BN bergabung menjadi satu parti sahaja iaitu Parti Barisan Nasional bagi memastikan agenda perpaduan nasional Malaysia tercapai sepenuhnya.

Mewujudkan satu parti dari gabungan semua parti komponen BN di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sudah tentu memerlukan banyak usaha dan komitment, kerjasama yang padu dan rundingan yang perlu dilakukan mungkin mengambil masa beberapa tahun tetapi Pemuda Gerakan percaya selepas 50 tahun kemerdekaan, kita perlu mengambil langkah pertama untuk menyatukan semua 14 parti komponen menjadi satu parti sahaja