Bukan semua pandangan dan idea menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin diterima, kata Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Salleh

Katanya, sewaktu Khairy menjadi pembantu khas kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ada juga pandangan Khairy ditolak oleh kakitangan Pejabat Perdana Menteri.

Ada masanya, kata beliau, dalam mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri, pandangan Khairy tidak disokong oleh kakitangan lain.

Ada juga pandangan Khairy yang juga Naib Ketua Pemuda Umno terpaksa diubah, tetapi Khairy boleh menerima pandangan orang lain, katanya.

"Dakwaan bahawa Khairy terlalu berpengaruh sehingga semua pandangannya diterima adalah tidak betul," katanya dalam temubual dengan malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya kelmarin.

Begitu juga dengan dakwaan bahawa Khairy terlalu berkuasa dan boleh menentukan itu dan ini, yang menurut Wan Ahmad Farid, "ia lebih merupakan dakwaan semata-mata".

Beliau memberitahu demikian bagi menjawab dakwaan pihak tertentu yang mengatakan Khairy terlalu berkuasa sebagaimana yang pernah disuarakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

'Kawan karib Khairy'

Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu itu mengaku bahawa beliau merupakan kawan karib Khairy semasa menjadi ahli jawatankuasa pergerakan Pemuda Umno.

Persahabatan baik ini juga, menurutnya, menyebabkan Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mendakwa bahawa beliau (Wan Ahmad Farid) perlu mendapatkan restu Khairy terlebih dahulu untuk mengarahkan polis supaya tidak mengeluarkan permit kepada program Bersih di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu pada 8 September lalu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mahu memberi respons terhadap dakwaan tersebut kerana tidak mahu melayan dakwaan yang tanpa bukti.

Dalam kejadian tersebut, tujuh orang cedera, termasuk empat anggota polis. Manakala dua ahli PAS cedera terkena tembakan seorang anggota polis.

"Pengendali lamanweb Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin juga menyentuh banyak kali mengenai hubungan saya dengan Khairy," katanya.

Ditanya mengapa Khairy mudah menjadi sasaran, Wan Ahmad Farid berkata, ia kerana Khairy merupakan menantu Perdana Menteri dan menjadi Naib Ketua Pemuda Umno secara lantikan.

Khairy boleh menang

"Tetapi kalau bertanding sekalipun, saya yakin beliau akan menang," katanya.

Menurutnya, beliau pernah memberitahu Khairy supaya tidak melayan semua dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

Khairy dipilih menjadi Naib Ketua Pemuda Umno tanpa bertanding dalam Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2004.

Dalam perhimpunan itu juga, ucapan Khairy 'diboo' oleh perwakilan pergerakan tersebut.

"Saya beritahu Khairy supaya melupakan insiden tersebut, sebaliknya tampil membuktikan kemampuan dan kini beliau telah membuktikannya," katanya.