Hui Yee jalani pemindahan terima jantung lain
Remaja perempuan berjantung mekanikal, Tee Hui Yee, menjalani pemindahan menerima jantung lain pagi ini setelah badannya menolak jantung seorang pemuda yang dipindahkan kepadanya semalam.
Remaja perempuan berjantung mekanikal, Tee Hui Yee, menjalani pemindahan menerima jantung lain pagi ini setelah badannya menolak jantung seorang pemuda yang dipindahkan kepadanya semalam.
Pemindahan jantung terbaru itu berlangsung dari 2 pagi hingga 8 pagi tadi di Institut Jantung Negara.
Hui Yee bernasib baik kerana terdapat seorang penderma organ dari Johor Bahru menyumbangkan jantungnya, demikian menurut laporan Bernama.
Hui Yee, 14, bergantung kepada jantung mekanikal selama setahun sebelum menerima jantung yang didermakan oleh seorang pemuda dari Sitiawan, yang meninggal dunia akibat satu kemalangan jalanraya.
"Keadaan Tee Hui Yee kini lebih stabil walaupun kritikal," kata Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek.
'Terima kasih'
Sebelum itu beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Rawatan dan Pemulihan Dadah di Agensi Anti-Dadah Kebangsaan di sini.
Chua enggan mendedahkan identiti penderma kedua itu berdasarkan permintaan keluarganya.
"Semua penderma organ berharap tidak dikacau ganggu oleh wartawan dan media," katanya.
Chua berkata kerajaan mengucapkan terima kasih kepada penderma itu dan berharap ia boleh menjadi contoh kepada yang lain.
Beliau berkata 1,500 mangsa kemalangan setahun mengalami koma dan mengalami "kematian otak", dan golongan ini merupakan sumber organ yang diperlukan oleh penerima organ.
"Dalam keadaan malang pun, kita dapat selamatkan orang lain dengan mendermakan organ kita. Saya difahamkan semua agama tidak menghalang sesiapa pun menderma organ," katanya.
Hui Yee semakin stabil
Sementara itu, Pakar bedah kardiotorasik Datuk Dr Mohd Azhari Yakub berkata, keadaan kesihatan Hui Yee semakin stabil selepas menjalani pembedahan pindahan jantung kedua bermula jam 1 pagi hingga 8 pagi tadi.
Katanya, pembedahan itu dilakukan pasukan yang sama melakukan pembedahan pintasan jantung pertama Hui Yee semalam iaitu enam pakar bius, seorang doktor dan 30 paramedik yang diketuai beliau dan Pengarah Klinikal Pembedahan Jantung dan Hati Dr Mohamed Ezani Md Taib.
"Keadaan Hui Yee stabil, keadaan pergerakan jantungnya memuaskan dan kondisi jantungnya juga memuaskan. Tetapi dia masih dirawat di unit rawatan rapi," katanya pada sidang akhbar di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur hari ini.
Antara yang hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif IJN Mohd Razif Mohd Yunus, Dr Mohamed Ezani, Pengarah Perubatan Datuk Seri Dr Robayah Zambahari dan Perunding Transplan Jantung dan Paru-Paru Noor Salina Othman.
Beliau berkata selepas pembedahan pintasan jantung pertama mereka mendapati pergerakan jantung Hui Yee kurang memuaskan dan kurang stabil dari segi tekanan darah.
"Jangkaan kami ... mungkin sebab daya tahan Hui Yee menolak pindahan jantung pertama. Keadaan ini jarang berlaku tetapi boleh berlaku seperti yang terjadi pada Hui Yee walaupun darah pesakit dan penderma adalah bersesuaian," katanya.
Beliau berkata sejak tahun lalu, IJN berusaha untuk mendapatkan pindahan jantung dan bersyukur kerana mendapat dua penderma jantung dalam masa dua hari berturut-turut.
Ditanya mengenai maklumat lanjut berkenaan penderma jantung kedua, Dr Mohd Azhari berkata: " Sila hormati privasi keluarga itu yang bersedih ketika ini. Tolong jangan tanya maklumat lanjut siapa mereka."
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan penderma kedua adalah mekanik dari Johor Bahru yang juga meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya.
Beliau berkata keluarga Hui Yee menerima dengan tabah keadaan kesihatan Hui Yee kerana mereka telah dimaklumkan dan memahami prosedur yang berlaku semasa dan selepas pembedahan.
Hui Yee, yang telah menunggu lebih setahun untuk mendapat jantung daripada penderma, menjalani pembedahan pindahan jantung pertama di IJN kelmarin selepas menerima organ itu daripada seorang remaja Melayu yang meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya di Ipoh.

