Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini merakam kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pendedahan klip video perbualan peguam Datuk VK Lingam.

Dua pegawai BPR (foto) mengambil masa hampir dua jam merakamkan kenyataan bekas timbalan perdana menteri itu di pejabat Anwar di Petaling Jaya.

Mereka yang enggan memperkenalkan identiti masing-masing kepada pihak media, tiba pada jam 3.30 petang dan beredar dari situ pada kira-kira jam 5.15 petang.

Anwar adalah individu ketiga yang disoalsiasat berhubung pendedahan klip video tersebut yang menunjukkan Lingam sedang berbual melalui telefon, didakwa untuk mengatur pelantikan hakim-hakim.

Dari kontek perbualan tersebut, Anwar yang mendedahkan klip video tersebut pada 19 September lalu, mendakwa orang yang bercakap dengan Lingam adalah Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim.

Anwar kemudiannya memberitahu pemberita bahawa pertemuan itu berjalan dengan baik dan beliau ditanya mengenai identiti sumber klip video tersebut.

Keselamatan sumber

Anwar berkata, beliau memberitahu pegawai BPR tersebut bahawa sumber klip video itu berjanji untuk mendedahkan segala-galanya jika suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan kesalahan dalam rakaman tersebut.

"Dengan itu, sekurang-kurangnya mereka (sumber tersebut) tahu yang ada imuniti dan mereka akan lebih yakin lagi," katanya.

Menurutnya, pegawai BPR tersebut memaklumkan kepadanya bahawa saksi-saksi akan dilindungi di bawah Seksyen 53 Akta Badan Pencegah Rasuah 1997 tetapi Anwar berkata, ianya tidak mencukupi.

Undang-undang tersebut, yang digubal sewaktu Anwar menjadi timbalan perdana menteri, membenarkan butiran diri sumber maklumat dirahsiakan, walaupun dalam perbicaraan mahkamah.

Bagaimanapun, Anwar berkata, ia belum dapat menjamin keselamatan diri sumber maklumat.

Malah, katanya, beliau telah memberi jaminan untuk menjaga keselamatan sumber maklumat terbabit.

Suruhanjaya diraja

Menjawab soalan media, Anwar berkata, beliau tidak menerima notis dari BPR supaya mendedahkan identiti sumber maklumat.

Semalam, Naib Presiden PKR, R Sivarasa dan penyelaras politik Anwar - Sim Tze Tzin - telah menerima notis tersebut supaya mendedah sumber klip video itu dalam tempoh tujuh hari sehingga 9 Oktober depan.

Jika gagal berbuat demikian, mereka boleh dihukum denda RM10,000 atau dua tahun penjara.

Mengulas mengenainya, Anwar berkata, partinya akan memutuskan langkah seterusnya selepas ini.

Menurutnya, BPR mempunyai cukup alasan untuk memperluaskan siasatannya meliputi individu yang disebut dalam klip video tersebut kerana laporan malaysiakini telah mengesahkan dakwaan yang dibuat oleh Lingam dalam video tersebut.

"Semuanya sama. Ia bermakna sama ada Lingam memang tahu, atau dia seorang ahli nujum," katanya berseloroh.

Anwar menegaskan bahawa PKR menuntut supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja kerana panel tiga anggota yang ditubuhkan oleh kerajaan sendiri mengakui bahawa mereka tiada kuasa untuk menjalankan siasatan yang sempurna.

Penal tersebut ditugaskan untuk menyiasat kesahihan klip video tersebut.

"Adakah ianya hanya untuk menyediakan laporan kepada Najib? Adakah itu tujuannya? Saya merayu kepada anggota panel tersebut supaya mengambil pendirian dan menyokong tuntutan penubuhan suruhanjaya diraja," katanya. Berita asal