Gerakan tidak akan menjadi parti untuk satu kaum sahaja walaupun 90 peratus ahlinya merupakan orang Cina tetapi akan kekal menjadi parti berbilang kaum sebagaimana yang diamalkan sejak sekian lama, kata Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe.

Menurutnya, Gerakan tidak akan menjadi seperti MCA - parti komponen ketiga terbesar dalam Barisan Nasional (BN) yang mewakili kaum Cina.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu menjelaskan bahawa orang bukan Cina tidak mahu menyertai Gerakan kerana mereka lebih gemar menyokong parti perkauman yang berjuang untuk kepentingan kaum masing-masing.

"Orang Melayu suka kepada parti kaum mereka, orang Cina dengan parti mereka dan begitu juga dengan orang India, tetapi perkembangan ini tidak sihat kepada negara berbilang kaum seperti Malaysia.

"Walaupun berbeza agama, bangsa dan budaya, perjuangan hanya perlu melalui parti yang mempunyai satu wawasan," katanya ketika ditemui di persidangan tahunan Gerakan di ibu negara hari ini.

Oleh itu, kata Tan, tidak hairanlah apabila 90 peratus daripada kira-kira 500,000 ahli Gerakan sekarang adalah dari kaum Cina.

Dalam hubungan ini, beliau berkata, rakyat perlu membuka mata bahawa parti berbilang kaum sangat sesuai dengan mereka daripada parti satu kaum.

Tarik ahli Melayu, India

Bagaimanapun, katanya, Gerakan akan menjalankan pelbagai aktiviti untuk menarik lebih ramai orang Melayu dan India menyertai parti itu, khususnya di kalangan generasi muda.

"Mari bersama Gerakan untuk membina bangsa Malaysia yang besar yang boleh memasuki dunia antarabangsa dan bukannya hanya memikirkan kaum sendiri sahaja," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Gerakan Datuk Mah Siew Kong pula berkata, Gerakan akan terus kekal sebagai parti berbilang kaum walaupun jumlah orang bukan Cina dalam parti itu kecil.

Katanya, angka orang Melayu dan India yang kecil tidak penting kerana yang lebih mustahak ialah ideologi parti yang bukan perkauman.

"Parti yang berasaskan kaum sudah tidak sesuai lagi dengan perkembangan yang berlaku dalam negara sejak sekian lama," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapan dasarnya di persidangan agung tersebut, Mah mencadangkan supaya semua 14 parti komponen Barisan Nasional (BN) digabungkan bagi mencapai perpaduan nasional.

Mah berkata, masanya sudah tiba bagi semua parti komponen BN digabung menjadi menjadi satu parti - Parti BN.

Mengulas perkara tersebut, Ketua Pemuda BN yang juga Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, Malaysia dibina oleh semua kaum yang ada di dalam negara ini dnan bukannya satu kaum tertentu sahaja.

Katanya, walaupun pemimpin parti memperjuangkan kaum mereka tetapi hubungan antara satu sama lain sangat erat dan mesra.