Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau dukacita kerana pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) mudah terperangkap dengan isu-isu perkauman yang dimainkan oleh pihak musuh.

Katanya, mereka terlalu cepat memberi respons terhadap isu-isu perkauman walaupun tahu pihak berkenaan melakukannya untuk kepentingan mereka dan untuk menyusahkan semua pihak.

"Kerana inilah (respons) dari pemimpin BN, masalah (perpaduan) kaum menjadi semakin rumit untuk diselesaikan. Walaupun negara telah merdeka 50 tahun, isu perpaduan kaum masih panas.

"Isu perkauman ini boleh menimbulkan kemarahan dan keresahan kepada rakyat tetapi mereka nampaknya begitu mudah memberi respons ," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung parti Gerakan di ibu negara hari ini.

Hadir sama Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; bekas presiden Tan Sri Lim Chong Eu, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan pucuk pimpinan parti tersebut.

Bekas presiden Gerakan, Datuk seri Dr Lim Keng Yaik bagaimanapun tidak dapat hadir kerana masih mendapat rawatan di hospital.

Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata, pendekatan yang BN gunakan ialah membincangkan isu tersebut dengan pemimpin parti yang mewakili kaum masing-masing secara terbuka.

"Inilah cara yang kita gunakan di mana kita diasuh supaya berhati-hati membincangkannya sehingga berjaya diselesaikan," katanya.

Kepentingan semua kaum

Perdana Menteri berkata, beliau faham pemimpin parti mahu memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing tetapi tidak boleh sampai mengenepikan kepentingan dan harapan kaum lain.

Katanya, BN tidak boleh mengamalkan "ambil dari Ah Seng, beri kepada Ahmad, ambil dari Ahmad beri kepada Muniandy kerana hak mereka akan kekal hak mereka".

Dalam ucapannya, Abdullah berkata, sebagai Perdana Menteri beliau bertanggungjawab kepada rakyat negara tanpa mengira kaum.

Sehubungan itu katanya, beliau sedia mendengar apa sahaja rungutan dan masalah rakyat untuk diselesaikan.

"Jadi ceritalah kepada saya apa sahaja asalkan ia benar. Kadang-kadang mereka tidak mahu berbuat demikian kerana tidak mahu saya susah hati.

"Jadi mereka menafikan semua perkara dan ini saya kena tegur, jangan nafi semua semata-mata untuk menggembirakan saya," katanya.

Abdullah juga berkata, rakyat perlu faham bahawa Islam Hadhari tidak memaksa orang lain menganut Islam dan tidak menentang agama mereka.

Untuk itu, katanya, penganut bukan Islam tidak perlu takut kepada Islam Hadhari kerana menurutnya `agama kamu urusan kamu, agamaku urusanku.'