Kes salahlaku: Ambil tindakan keras, kata Dr Koh
Gerakan meminta kerajaan mengambil tindakan keras terhadap pemimpin politik, terutama yang memegang kuasa eksekutif jika mereka terbabit dengan kes-kes salahlaku.
Gerakan meminta kerajaan mengambil tindakan keras terhadap pemimpin politik, terutama yang memegang kuasa eksekutif jika mereka terbabit dengan kes-kes salahlaku.
Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, pendedahan mengenai amalan salah dan penyelewengan oleh Ketua Audit Negara baru-baru ini, amat membimbangkan rakyat.
Oleh itu, katanya Gerakan menyeru kerajaan mengambil tindakan susulan yang lebih konkrit untuk menjalankan siasatan yang bebas dan lengkap serta mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit.
"Kami menyokong objektif Pelan Intergriti Nasional (PIN) yang ditubuhkan tiga tahun lalu untuk melahirkan sistem pentadbiran kerajaan yang adil dan telus untuk rakyat.
"Bagaimanapun, langkah-langkah hendaklah dipercepatkan untuk mengkaji dan merombak semula sistem dan prosedur penyampaian supaya dapat memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban.
"Langkah ini adalah perlu untuk menangkis perpektif negatif dan mengembalikan keyakinan orang awam terhadap institusi eksekutif kerajaan termasuk dalam institusi kehakiman," katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung parti Gerakan di ibu negara hari ini.
Persidangan tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan dihadiri oleh pemimpin komponen BN yang lain.
'Yang Berhormat'
Dr Koh berkata, institusi perundangan iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri juga seharusnya mempamerkan kelakuan yang baik, integriti dan kredibiliti yang tinggi memandangkan wakil rakyat digelar "Yang Berhormat".
Katanya, para pemimpin seharusnya mengawal diri daripada naik berang dan memberikan kenyataan yang beremosi yang bersifat diskriminasi perkauman ataupun jantina yang akan menyinggung perasaan dan membangkitkan reaksi negatif dan kemarahan pihak lain.
"Sebaliknya mereka hendaklah memainkan peranan yang positif bagi merobohkan tembok salah faham, prejudis dan rasa benci yang wujud di kalangan masyarakat," katanya.
Menurutnya, rakyat perlu mengamalkan pegangan kesederhanaan yang liberal dan progresif dan mengelak segala bentuk fahaman melampau dan perkauman.
Dr Koh berkata, tidak dapat dinafikan dalam masyarakat majmuk timbul perbezaan pandangan berkaitan isu ekonomi, pendidikan, kaum dan agama.
Perbezaan ini, katanya, kadangkalanya menimbulkan perbahasan hangat, kemarahan, suasana tegang malah rusuhan yang menggugat keharmonian dan kestabilan masyarakat.
Bagaimanapun, tambahnya, negara berjaya menghadapi dan menyelesaikannya melalui penyelesaian yang rasional dan berkompromi walaupun bukan sempurna.

