Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Abdul Rahman Dahlan, menolak dakwaan bahawa terdapat perbincangan untuk mengeluarkan MCA daripada gabungan BN.
Rahman menjelaskan bahawa tiada mana-mana parti, termasuk DAP yang merupakan sekutu dalam kerajaan gabungan serta pesaing politik lama MCA, membuat permintaan sedemikian.
“Sebagai ahli pengasas kepada BN, saya tidak nampak pun keperluan untuk parti itu keluar daripada gabungan tersebut.

“Setahu saya tidak ada perbincangan dalam Umno, yang mengatakan bahawa MCA perlu dikeluarkan. Jadi saya tidak tahu macam mana cerita ini boleh timbul,” katanya yang dipetik oleh Sinar Harian hari ini.
Beberapa hari lalu, Presiden MCA, Wee Ka Siong, mendakwa bahawa ada "pihak luar" yang mencadangkan agar Umno menyingkirkan MCA daripada BN dan bahawa parti itu kini "menunggu" keputusan Umno.
Tanpa menamakan mana-mana individu, ahli Parlimen Ayer Hitam itu turut mendakwa bahawa individu sama sebelum ini pernah menuduh MCA mengkhianati masyarakat Cina kerana hubungannya dengan Umno.
Timbalan Pengerusi Umno Sabah itu juga menekankan bahawa peranan MCA dan DAP dalam memperjuangkan hak serta kebajikan masyarakat Cina adalah penting dalam menentukan sokongan mereka.
“Kita faham ada persaingan antara MCA dan DAP dalam soal untuk mendapatkan sokongan orang Cina.

“Namun saya rasa mana-mana parti yang mempunyai dasar yang jelas untuk pembangunan dan kepentingan orang Cina, pasti mereka akan berikan sokongan,” katanya lagi.