Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menghargai tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said yang membantu mengkoordinasi perintah larangan mengulas (gag order) berkaitan titah adendum terkait Najib Razak.
“Ini masanya saya ulas, itu usaha yang dicadangkan oleh Jabatan Peguam Negara dan saya tentunya berterima kasih kepada menteri undang-undang Azalina yang mengkoordinasikannya dengan Pejabat Peguam Negara dalam hal ini,” katanya ringkas kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Inap Desa dengan pihak-pihak berkepentingan, di bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Zahid mengulas pendirian Umno berhubung keputusan kerajaan memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah “tutup mulut” daripada mahkamah bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan titah adendum.
Azalina sebelum ini dilaporkan berkata perintah larangan itu tidak sepatutnya dilakukan.
Ini, katanya kerana isu itu akan dibincangkan semula di Dewan Rakyat ketika persidangan pada bulan Februari.
Isnin lalu peguam bela Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Menurut salinan permohonan yang dilihat Malaysiakini, kerajaan memohon perintah larangan tersebut bagi menghalang mana-mana pihak termasuk media daripada menerbitkan atau menyiarkan apa-apa bentuk komunikasi sama ada secara cetak, elektronik, digital dan platform media sosial.
Ia juga bagi menghalang semua pernyataan, komen atau perbincangan yang meragui, mempersoalkan, mencabar atau menghina kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Sekiranya mahkamah sivil membenarkan perintah larangan tersebut, pihak media bukan sahaja tidak dibenarkan melaporkan kes itu tetapi ia juga akan menghalang mana-mana anggota badan kehakiman dan peguam yang terlibat secara langsung dalam tindakan sivil itu daripada memberikan salinan dokumen sulit berkaitan kes tersebut kepada orang awam.
Sebelum ini Najib memohon semakan kehakiman bagi menuntut pelaksanaan titah tambahan berkenaan yang didakwa membenarkannya menjalani baki hukuman penjara di rumah berbanding di Penjara Kajang.
Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman tersebut atas alasan afidavit sokongan yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid dan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail adalah bersifat khabar angin.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan baru-baru ini menerima rayuan Najib dan mengembalikan kes tersebut ke mahkamah tinggi untuk didengar.