PAS bimbang dengan kecenderungan DAP yang mula menunjukkan elemen-elemen perkauman dalam perjuangan parti itu, terutama sejak kebelakangan ini.

Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, DAP berbuat demikian kerana mahu menarik pengundi kaum Cina dalam pilihanraya umum akan datang.

Menurutnya, sebelum ini DAP tidak kelihatan mengamalkan politik perkauman tetapi sejak akhir-akhir ini, parti itu mula lantang berjuang untuk kaum tertentu sahaja.

"Parti yang bersifat perkauman tidak baik kepada negara berbilang kaum seperti Malaysia dan juga tidak elok kepada demokrasi negara.

"Kami tidak gembira dengan kecenderungan yang mula ditunjukkan oleh DAP itu kerana ia seolah-olah meniru apa yang dilakukan oleh parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Walaupun kami tidak mempunyai hubungan langsung dengan DAP tetapi sebagai parti pembangkang, perkembangan yang berlaku dalam DAP itu tidak elok kepada kami," katanya dalam majlis berbuka puasa bersama wartawan di ibu negara semalam.

Politik berkauman

Hadir sama ialah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa; Bendahari Agung PAS, Dr Hatta Ramli dan Penyelidik PAS, Dr Zulkifli Ahmad. Kira-kira 20 wartawan tempatan hadir.

Sebaliknya kata Mustafa, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mengamalkan politik perkauman kerana ia langsung tidak sesuai dengan rakyat negara ini.

Katanya, politik perkauman hanya diamalkan oleh Umno dan beberapa parti komponen BN kerana mereka menggunakan isu kaum untuk kepentingan parti mereka sahaja.

"Sebab itu dalam perhimpunan parti mereka, masing-masing mahu menonjolkan diri supaya kelihatan parti mereka yang paling layak mewakili kaum mereka," katanya.

PAS pernah bekerjasama dengan DAP dalam pilihanraya umum 1999 apabila mereka membentuk Barisan Alternatif (BA) tetapi DAP kemudiannya keluar dari BA kerana tidak sehaluan dengan konsep negara Islam yang diperjuangan PAS.

Bagaimanapun, mereka terus bekerjasama dalam beberapa isu terutama yang membabitkan kepentingan rakyat seperti isu kenaikan harga minyak dan keganasan polis.