Dr Mahathir sudah boleh berjalan
Tun Dr Mahathir Mohamad telah dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi di Institut Jantung Negara (IJN) ke wad biasa tengah hari tadi selepas para doktor berpuashati dengan kemajuan keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu.
Tun Dr Mahathir Mohamad telah dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi di Institut Jantung Negara (IJN) ke wad biasa tengah hari tadi selepas para doktor berpuashati dengan kemajuan keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, IJN berkata Dr Mahathir yang ditempat di wad Bunga Raya, akan meneruskan dengan rawatan pemulihan selepas pembedahan, termasuk eksesais menguatkan dada dan otot.
"Dr Mahathir juga telah boleh berjalan tanpa dibantu sejak semalam," kata kenyataan itu.
Dr Mahathir, 81, menjalani pembedahan membersihkan luka di IJN pada 22 September lalu yang dijalankan oleh pasukan pakar bedah yang sama melakukan pembedahan pintasan jantung kedua terhadap beliau pada 4 September.
Walaupun telah dipindahkan ke wad biasa, IJN masih menghadkan pelawat kepada anggota keluarga terdekat sahaja bagi membolehkan Dr Mahathir berehat secukupnya di antara sesi fisioterapi yang harus dijalaninya, demikian menurut laporan Bernama.
Datuk Mokhzani Mahathir memberitahu pemberita di IJN bahawa keadaan bapanya semakin bertambah baik.
Makan spaghetti
"Beliau tidak akan dibenarkan keluar hari ini. Nampaknya kami akan berada di sini pada Hari Raya. Insya-Allah, beliau akan bertambah baik dan bertenaga," katanya.
Datin Paduka Marina dalam blognya berkata bapanya makan spaghetti marinara, salad, buah dan puding untuk hidangan tengah hari selepas dipindahkan ke wad biasa.
Blognya juga menyiarkan gambar-gambar terkini Dr Mahathir bersama Tun Siti Hasmah Mohd Ali.
Katanya perpindahan bapanya ke wad Bunga Raya sudah cukup baik bagi beliau sekeluarga dan Marina memasukkan beberapa gambar bapanya di dalam blog beliau, www.rantingsbymm.blogspot.com .
"Saya bergegas ke IJN dan menemui ramai pemberita di tingkat bawah. Nampaknya ada orang telah memberitahu mereka yang bapa akan dibenarkan keluar hari ini. Tidak betul sebenarnya. Tetapi buat masa ini, perpindahan ke atas, tingkat lima (wad biasa) sudah cukup baik bagi kami," katanya.
Marina berkata ibunya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut melawat remaja jantung mekanikal yang telah menjalani pemindahan jantung, Tee Hui Yee pagi ini.
"Dia sedar, kelihatan baik malah menunjukkan kedua-dua ibu jarinya tanda bagus. Ibu bapanya berada di sisi turut berkongsi perasaan gembira," katanya.

