Pemuda MCA menyarankan agar pemimpin BN - khususnya pemuda - mengadakan perjumpaan dengan lebih kerap ketika pelbagai isu memanaskan suhu politik di negara ini.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, berkata untuk menghadapi PRU atau pilihan raya negeri (PRN) pada masa depan, para pemimpin BN perlu lebih fokus dan objektif untuk memperkukuhkan parti.

Antara aspek yang perlu diberi perhatian, kata Neow, kata peremajaan parti, pengukuhan jentera pilihan raya, penguasaan dalam media sosial, serta strategi yang lebih efektif untuk memenangi lebih banyak kerusi.

"Saya menyeru agar kepimpinan BN, khususnya Pemuda BN, mengadakan pertemuan dengan lebih kerap bagi membincangkan dan menyelesaikan sebarang perbezaan secara baik.

"Kita harus buang yang keruh dan ambil yang jernih demi memastikan BN terus menjadi wadah perjuangan yang kuat dan bersatu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Keberadaan MCA bersama BN menjadi perhatian sejak beberapa tahun lalu ekoran sikap ditunjukkan parti itu sama ada semasa menyertai kerajaan pimpinan PN atau selepas PRU ke-15.

Dalam konteks semasa, MCA sering dilihat tidak sehaluan dengan Putrajaya di sebalik kedudukan mereka sebagai salah satu parti komponen BN dan menjadi sebahagian kerajaan.

Ia semakin panas ekoran pertembungan pandangan - termasuk melibatkan Pemuda Umno - dengan pemimpin MCA.

Misalnya rancangan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Akmal Saleh, mahu menyaman Timbalan Ketua Publisiti MCA Johor, Law Yiak Kwang.

Kedua-dua pihak juga dilihat tidak sependapat dalam isu sandwic ham.

Beberapa hari lalu Presiden MCA Wee Ka Siong mendakwa ada pihak tertentu yang mencadangkan agar parti itu disingkirkan dari BN, namun ia dinafikan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Kata Ahmad Zahid, hanya orang bermimpi di siang hari saja boleh mendesak BN menyingkirkan MCA.

Kata Neow, jaminan diberi Ahmad Zahid itu membuktikan bahawa hubungan antara parti dalam BN masih kukuh walaupun ada pihak yang cuba menggambarkan sebaliknya.

"Tidak dapat dinafikan bahawa BN sentiasa berdepan dengan cabaran, termasuk usaha pihak musuh politik untuk melemahkan kita, sama ada dari luar mahupun dalam.

"Sudah berkali-kali peringatan diberikan supaya kita semua berwaspada dengan gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut yang cuba menjejaskan keutuhan BN," katanya yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda BN.

Untuk rekod pada 28 Nov tahun lalu, Ketua Pemuda MIC, Arvind Krishnan, memberitahu Malaysiakini, sudah hampir 18 bulan Pemuda BN tidak mengadakan sebarang mesyuarat.