Ramai yang tertanya-tanya apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Abdul Aziz berkata, Rang Undang-undang Perlindungan Saksi akan melindungi kerahsiaan mereka.

Bagaimanapun, para pengkritik menjadi hairan kerana tidak wujud pun rang undang-undang seumpama itu di negara ini.

Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tiada bukti yang menunjukkan rang undang-undang seumpama itu telah dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat yang lalu.

"Pejabat saya telah mengesahkannya dengan Bahagian Perundangan Parlimen, tiada rang undang-undang tersebut yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

"Satu-satunya rang undang-undang yang dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat dalam dua sesi yang lalu ialah Rang Undang-undang Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suruhanjaya diraja

Nazri dilaporkan berkata, sumber maklumat dalam skandal klip video peguam Datuk VK Lingam boleh mendapat perlindungan di bawah Rang Undang-undang Perlindungan Saksi yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini.

Katanya, rang undang-undang itu menyediakan perlindungan kepada para saksi supaya identiti mereka dirahsiakan, termasuk di segi pentadbiran dan operasi lain yang perlu untuk menukar butiran peribadi mereka.

Walaupun Wan Azizah menyambut baik idea untuk menggubal Rang Undang-undang Perlindungan Saksi, tetapi beliau bagaimanapun menegaskan bahawa suruhanjaya siasatan diraja tetap merupakan wadah terbaik untuk menyiasat kontroversi klip video tersebut.

Klip video selama lapan minit itu, yang menunjukkan Lingam sedang berbual mengenai pelantikan hakim-hakim, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada 2002, didedahkan oleh PKR tiga minggu lalu.

Badan Pencegah Rasuah (BPR), yang menyiasat kes tersebut, telah mengeluarkan notis kepada dua ahli PKR supaya mendedah sumber klip video tersebut dalam tempoh tujuh hari. Jika gagal berbuat demikian, kedua-duanya berhadap dengan kemungkinan didenda atau dipenjarakan.

Kerana bimbangkan keselamatan pemberi maklumat, PKR terus mendesak supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasatnya kerana suruhanjaya itu mempunyai kuasa untuk memberi perlindungan kepada para saksi yang tampil memberi maklumat.

Semak fakta

Bekas pelapor khas PBB mengenai kebebasan hakim dan peguam, Datuk Param Cumaraswamy juga tertanya-tanya mengenai Rang Undang-undang Perlindungan Saksi yang dimaksudkan oleh Nazri itu.

"Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi yang mana yang dimaksudkan oleh Nazri? Dari semakan yang dibuat, tidak ada undang-undang seumpama itu yang diluluskan atau dibentangkan di Parlimen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menasihatkan Nazri, sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap halehwal perundangan supaya lebih berhati-hati dan menyemak faktanya sebelum membuat sebarang kenyataan.

"Kenyataan yang tidak betul seperti ini boleh memalukan kerajaan," kata bekas presiden Majlis Peguam itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok (Seputeh) mendesak Nazri supaya memperbetulkan segera kenyataannya supaya tidak mengelirukan orang ramai.

Bagaimanapun, Kok menyambut baik idea menggubal Rang Undang-undang Perlindungan Saksi dan berharap ianya dapat dibentangkan apabila sesi Parlimen disambung pada 22 Oktober nanti.