Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS kecam Pemuda DAP isu garis panduan majlis di rumah ibadat
Diterbitkan:  Feb 6, 2025 12:54 PM
Dikemaskini: 4:54 AM

Pemuda PAS mengecam Pemuda DAP kerana menentang cadangan garis panduan kerajaan mengenai penyertaan orang Islam dalam acara di rumah ibadat bukan Islam, dengan menggelar pendirian mereka sebagai "campur tangan yang biadab dan tidak bertanggungjawab."

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden mempertahankan keperluan garis panduan itu, menegaskan bahawa ia perlu untuk menjaga akidah umat Islam dan mengekalkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Dia berkata tindakan Pemuda DAP itu mencerminkan "keangkuhan dan kejahilan" dalam memahami kerangka agama negara, mempersoalkan kuasa mereka untuk mencabar perkara berkaitan Islam.

"Garis panduan yang ditetapkan bukanlah satu bentuk sekatan yang menindas, sebaliknya satu keperluan untuk memastikan akidah umat Islam sentiasa terpelihara.

"Malaysia adalah sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, dan segala keputusan berkaitan agama ini dibuat oleh pihak berautoriti seperti Majlis Fatwa Kebangsaan serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Siapa Dapsy (Pemuda DAP) untuk mempertikaikan hal ini? Apakah hak mereka untuk campur tangan dalam urusan umat Islam sedangkan mereka langsung tiada autoriti dalam perkara ini?" soal Afnan dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, Pemuda PAS tidak akan berdiam diri apabila "pihak luar" cuba mendorong "agenda liberal melampau".

Dakwa Afnan lagi, pendirian Pemuda DAP itu bukan sahaja menunjukkan keangkuhan mereka malah kelihatan mencabar kedudukan Islam di negara ini.

"Adakah mereka mahu membuka jalan kepada lebih banyak provokasi terhadap Islam? Atau mereka memang tidak pernah belajar dari kesilapan sebelum ini?" tambahnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar mengumumkan dalam jawapan bertulis parlimen yang dikeluarkan semalam bahawa garis panduan yang dicadangkan itu bertujuan untuk mengawal selia penyertaan umat Islam dalam acara tersebut, memastikan ia tidak mengandungi unsur-unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.

Ini termasuk memerlukan kelulusan awal daripada pihak berkuasa agama dan melarang propaganda agama, persembahan atau ucapan yang mempermainkan Islam, atau mengadakan acara berhampiran masjid dan surau.

Pemimpin Pemuda DAP, termasuk ketuanya Woo Kah Leong, semalam menggesa kerajaan mengekalkan status quo, dengan alasan garis panduan baru itu boleh memecahbelahkan lagi orang Islam dan bukan Islam serta menyekat interaksi yang menggalakkan perpaduan.

Woo menyebut kehadiran Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah di acara keagamaan dan kebudayaan bukan Islam sebagai contoh keharmonian yang wujud antara masyarakat yang berbeza.

Pemuda PAS bagaimanapun menolak hujah ini dengan menegaskan umat Islam tidak akan tunduk kepada sebarang cubaan untuk menjejaskan hak agama Islam.

“Jika mereka masih berkeras, kami tidak akan teragak-agak untuk bertindak lebih tegas bagi memastikan Islam tidak diperkotak-katikkan oleh pihak yang berkepentingan politik.,” kata Afnan.

Jawatankuasa muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam dijangka memuktamadkan garis panduan baru itu pada akhir bulan ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS