Dikemas kini dengan berita penuh.
Seorang jurutera maut selepas dipercayai terkena bilah helikopter yang terbalik sebelum terbakar berhampiran kolam air panas, Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong, dekat Bentong, Pahang, pagi tadi.
Kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar jam 10.30 pagi ketika helikopter jenis Bell 206L4 mendarat di lokasi terbabit untuk mengisi bahan bakar.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang memaklumkan pihaknya tiba di lokasi kejadian jam 10.52 pagi.
"Berdasarkan laporan saksi kejadian, helikopter terbabit berada di darat ketika proses mengisi bahan bakar dilakukan.
"Helikopter kemudiannya dikatakan hilang kawalan dan terbalik sebelum terbakar. Juruterbang helikopter itu adalah seorang lelaki warganegara Indonesia, terselamat manakala seorang jurutera - juga warganegara Indonesia - maut," kata kenyataan itu.

Seramai lima pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong bersama sebuah jentera terbabit dalam operasi itu.
"Mangsa yang maut dipercayai akibat terkena bilah kipas helikopter berkenaan.
"Helikopter itu musnah 100 peratus dalam kejadian terbabit," katanya.
Sementara itu, pemangku pengarah JBPM Pahang, Tok Muda Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman memaklumkan, operasi memadam dan mengawal kebakaran helikopter itu dilakukan menggunakan dua aliran hos dari pam jentera bomba.
