Seorang ahli parlimen kerajaan hari ini menggesa semua pihak terus mengamalkan budaya hidup harmoni dan persefahaman antara kaum di negara ini seperti yang ditunjukkan oleh Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan kepimpinan kerajaan Madani.

Tan Kar Hing (PH-Gopeng) berkata ini kerana ia sangat penting memandangkan masyarakat yang majmuk di negara ini.

“Dalam masyarakat majmuk di negara ini, selepas merdeka atau sebelum itu lagi sebenarnya gaya hidup kita di negara, walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, kita dah ada satu persefahaman antara kaum dan setiap penganut agama berasingan, sama ada muslim atau bukan muslim dan sudah tentu dah ada satu kesedaran dan pemahaman yang mungkin telah pun ditanam dalam hati masing-masing.

“Saya juga lihat tindakan pemimpin negara hari ini, sama ada Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atau pun perdana menteri kita (Anwar Ibrahim) setiap kali dalam ucapan dan kenyataan rasminya serta tindakan-tindakan mereka telah pun menunjukkan bahawa sebenarnya kita memang memahami apakah pegangan agama (setiap rakyat di negara ini) dan persefahaman kita selama ini.

“Dan perkara ini sepatutnya kita dorong dan patut kita teruskan sebagai amalan serta gaya hidup di dalam negara yang mempunyai masyarakat majmuk,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Tan berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian PKR berhubung garis panduan baru bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.

Dalam jawapan bertulis di parlimen semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baru bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.

Garis panduan tersebut termasuk syarat mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama jika acara itu melibatkan umat Islam, serta memastikan acara tersebut tidak mengandungi unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.

Antara unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam termasuk ucapan dan lagu berkaitan agama, risalah agama, persembahan atau ucapan yang menghina Islam; penganjuran acara ketika waktu solat umat Islam lokasi acara yang berdekatan dengan surau, masjid, tanah perkuburan Islam atau tanah wakaf serta premis yang mengandungi simbol agama bukan Islam.

Mengulas lanjut, Tan berkata dia juga bimbang dengan pelaksanaan cadangan Na’im itu ia hanya akan meningkatkan lagi jurang antara kaum di negara ini.

“Saya bimbang satu saja, kalau kita letakkan satu syarat atau garis panduan yang rigid, ia hanya akan menjadi halangan.

“Kami bimbang jika kami (secara tidak sengaja) melanggar garis panduan itu dan akan menyebabkan seseorang yang sebelum ini terbiasa dengan tradisi masyarakat setempat (meraikan kepelbagaian kaum) tidak lagi berani melakukan apa yang telah dijalankan (tradisi) sebelum ini.

“Seterusnya situasi itu akan menjauhkan hubungan antara kaum di negara ini. Walaupun tidak berniat jahat atau buruk tetapi saya bimbang perkara ini akan melebarkan lagi jurang hubungan etnik dan agama,” katanya.

Bagaimanapun kata Tan, garis panduan itu masih di peringkat perbincangan dan pihaknya telah memanjangkan cadangan kepada Na’im untuk dibuat perbincangan meja bulat mengenainya di Parlimen.

“Itu (cadangan) adalah jawapan bertulis daripada menteri di Jabatan Perdana Menteri dan memang perkara ini telah pun membangkitkan kemusykilan dan kebimbangan .

“Cuma saya lihat begini, memandangkan garis panduan ini masih berada di tahap perbincangan saya harap dalam perbincangan yang akan dibuat akan datang dapat dipertimbangkan untuk memperluaskan perbincangan tersebut kepada pihak-pihak yang berkaitan,” katanya.