Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar lawat Batu Caves esok
Diterbitkan:  Feb 6, 2025 9:31 PM
Dikemaskini: 4:19 PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadualkan akan melawat Batu Caves petang esok, ditengah-tengah kontroversi cadangan garis panduan baru acara bukan Islam yang melibatkan umat Islam.

"Insya-Allah, esok saya akan turun menunaikan Solat Jumaat bersama warga Ampang di Masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati.

"Usai Solat Jumaat, saya akan terus menyantuni dan makan tengah hari bersama rakyat di Medan Selera Anjung, Taman Melawati.

"Saya kemudiannya akan terus ke Batu Caves dan bertemu komuniti India selain melawat kawasan sekitar yang akan menjadi tumpuan sempena Thaipusam kelak untuk memastikan kemudahan di situ benar-benar selesa dan dalam keadaan baik," katanya pada hantaran di media sosial.

Sementara itu, Sri Maha Mariamman Temple Devasthanam Kuala Lumpur (SMMTD KL) turut memaklumkan pihak pengurusan kuil mengundang Anwar ke sana.

Menurut mesej WhatsApp daripada Pengerusi SMMTD KL, R Nadarajah, yang dikongsi dengan Malaysiakini, Anwar dijangka melawat kuil Hindu ikonik itu pada jam 3 petang.

Batu Caves begitu sinonim dengan perayaan Thaipusam yang akan berlangsung pada 11 Januari.

"Kepada ahli-ahli lembaga pengurusan SMMTD KL, rakan-rakan dan penganut sekalian, Vanakkam.

"Perdana menteri yang dikasihi akan melawat Batu Caves seperti yang diminta oleh pihak pengurusan kuil esok jam 3.00 petang.

"Beliau akan disambut dengan kalungan bunga di pintu masuk. Lawatan amat bermakna ini akan membawa manfaat kepada komuniti India kita. Sila hadir tanpa gagal. Terima kasih," kata mesej tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R Ramanan menyifatkan lawatan Anwar itu sebagai “bersejarah.”

"Beliau cukup teruja dapat turun padang ke Batu Caves tahun ini bersama komuniti India," kata ahli parlimen Sungai Buloh itu seperti dipetik Bernama hari ini.

Ramanan (gambar atas) yang juga dipertanggungjawab untuk hal ewal komuniti India berkata Anwar memaklumkan hasrat untuk mengadakan lawatan itu kepadanya, petang semalam.

Lawatan Thaipusam?

Tidak jelas sama ada Anwar akan menghadiri Thaipusam atau tidak, kerana dia tidak menghadiri perayaan itu pada tahun lalu.

Pada 2023, Anwar dijadualkan menghadiri perayaan Thaipusam tetapi terpaksa membatalkan lawatan pada saat akhir kerana tidak sihat.

“Anwar sangat menantikan perayaan ini, tetapi tidak dapat hadir kerana jatuh sakit pada saat akhir.

"Namun, beliau meminta saya mengatur pertemuan dengan pihak pengurusan kuil pada tarikh lain kerana ingin bertemu dengan mereka semua,” kata bekas menteri sumber manusia, V Sivakumar ketika itu.

Lawatan Anwar ke Batu Caves esok berlangsung di tengah-tengah perdebatan hangat mengenai cadangan garis panduan baru berkaitan lawatan umat Islam ke rumah ibadat bukan Islam.

Perdana menteri sebelum ini berkata kabinet akan membincangkan isu tersebut esok.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS