Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkata, ia akan menjual lebih 40 peratus pegangannya dalam bank keempat terbesar di Malaysia - RHB Capital - awal tahun depan bagi memenuhi peraturan Bank Negara.

KWSP kini memiliki 82 peratus pegangan dalam RHB. Mengikut peraturan bank pusat itu, ia perlu mengurangkan pegangannya kepada 35 peratus menjelang Jun tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol berkata, satu pengumuman mengenai pembeli sahamnya dalam RHB Capital, yang disenaraikan di bursa saham, dijangka dibuat dalam suku tahun pertama tahun depan.

Menurutnya, terdapat pihak-pihak dari Timur Tengah serta syarikat kewangan terbesar dari Eropah, yang telah menyuara minat mereka untuk membelinya.

Bercakap kepada pemberita, Azlan berkata, pihaknya juga mengalu-alukan rakan strategik.

Menurutnya, KWSP memerlukan lebih daripada satu rakan strategik untuk mematuhi peraturan bank pusat itu, dan pada masa yang sama, kekal sebagai pemilik terbesar RHB Capital.

Azlan berkata, Kuwait Finance House, yang telahpun beroperasi di Malaysia, bukan antara pihak yang menyuarakan minat untuk membeli sahamnya dalam RHB Capital.

Pada bulan Mac, EPF menguasai RHB Capital melalui pemilikan syarikat induknya, Rashid Hussain Bhd, selepas mengatasi dua lagi pesaing, termasuk Kuwait Finance House.

Azlan, yang juga pengarah RHB Capital berkata, kumpulan pembankan itu merancang untuk meningkatkan keuntungan dan modal pasarannya dalam tempoh tiga tahun.

AFP