Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Trump tutup unit DOJ yang kendalikan kes 1MDB
Diterbitkan:  Feb 7, 2025 12:43 PM
Dikemaskini: 5:52 AM

Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) telah  menutup unit elit antirasuahnya yang pernah mendakwa skandal 1MDB, kata wartawan penyiasat Bradley Hope.

“(Presiden AS Donald) Trump baru sahaja membubarkan unit elit antirasuah DOJ, menurut sumber kami.

“Inisiatif Kleptokrasi – terkenal kerana merampas kapal layar oligarki Rusia dan mendakwa penipuan 1MDB bernilai AS$4.5 bilion – telah dibubarkan secara senyap pada 5 Februari,” kata Hope di X semalam.

Bradley Hope

Menjelaskan lanjut, Hope berkata, Peguam Negara AS yang baru dilantik, Pam Bondi, mengumumkan keputusan itu pada 5 Januari melalui e-mel, termasuk menutup Pasukan Petugas KleptoCapture.

Kedua-dua unit itu sebelum ini berjaya memulihkan berbilion-bilion dolar aset yang dicuri sejak 2010.

Namun, Hope mendakwa ada agenda tersembunyi di sebalik keputusan Bondi.

Misteri di sebalik pembubaran

“Tetapi inilah kisah sebenar: Sumber mengatakan antara  objektif utama adalah untuk mengawal dana rampasan bernilai berbilion dolar – wang yang dirampas daripada pegawai korup yang sepatutnya dikembalikan kepada negara mangsa.

“Ke mana wang itu akan pergi? Memo Bondi secara samar menyebut ‘tujuan penguatkuasaan undang-undang lain’. Pelbagai sumber mendakwa ini bermakna dana tersebut akan digunakan untuk membiayai kemudahan tahanan baru di Teluk Guantanamo dan Texas.

Donald Trump

“Masa keputusan ini juga mencurigakan. Ia berlaku selepas laporan Bloomberg menyatakan bahawa unit rasuah asing DOJ (FCPA) telah dilemahkan, dan kini hanya terhad kepada kes yang melibatkan dadah atau pemerdagangan manusia,” tambahnya.

Kes baru dalam ketidakpastian

Memetik seorang veteran DOJ, Hope berkata keputusan ini telah melemahkan keseluruhan mekanisme antirasuah AS, dan meninggalkan kes-kes dalam siasatan tanpa penyelesaian.

“Pesanan kepada para kleptokrat di seluruh dunia? Pintu Amerika kini terbuka luas untuk perniagaan,” katanya.

Hope merupakan penulis bersama buku Billion Dollar Whale bersama wartawan Tom Wright, yang membongkar skandal 1MDB. Mereka berdua menyiasat isu ini semasa bertugas di The Wall Street Journal.

Menurut Whale Hunting, buletin mingguan yang mereka terbitkan, Inisiatif Kleptokrasi telah memulihkan berbilion-bilion dolar aset yang dicuri sejak ditubuhkan pada 2010.

Selain membongkar skandal 1MDB yang melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak, unit itu, antara lain juga menyiasat kekayaan luar biasa bekas diktator Nigeria, Sani Abacha.

“Kejayaan unit ini sangat penting dalam kes rasuah terbesar dalam sejarah – penyelewengan dana 1MDB sebanyak AS$4.5 bilion, wang yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan telah dibelanjakan bagi membeli lukisan Van Gogh dan membiayai filem The Wolf of Wall Street,” menurut laporan itu.

Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Najib serta denda RM210 juta atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Namun, pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman Najib kepada enam tahun penjara, dengan denda dikurangkan kepada RM50 juta.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS