Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, enggan mengulas mengenai garis panduan yang dicadangkan berhubung kehadiran umat Islam ke acara bukan Islam.

Ketika bercakap kepada media selepas mesyuarat kabinet, Fahmi berulang kali memberi jawapan,"sila rujuk kenyataan media" apabila diajukan soalan.

Antara pertanyaan dikemukakan, jika ada mana-mana menteri atau kementerian akan dikenakan tindakan kerana didakwa terburu-buru mengumumkan perkara ini di parlimen pada Selasa dan apakah perkara yang telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet mengenai garis panduan tersebut.

Beberapa jam sebelum sidang media Fahmi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang mengeluarkan satu kenyataan bersama menjelaskan sebarang keputusan dasar mengenai perkara ini perlu mendapatkan kelulusan kabinet terlebih dahulu.

Ketika ditanya mengenai suasana mesyuarat kabinet semasa perbincangan isu tersebut, Fahmi enggan mengulas lanjut.

“Perihal di dalam mesyuarat kabinet adalah rahsia besar. Kalau saya maklum semua di sini ia atas akta rahsia rasmi terpakai," katanya.

Katanya lagi, sesiapa yang memerlukan penjelasan lanjut mengenai garis panduan yang dicadangkan boleh merujuk kepada kementerian Na’im atau Aaron.

"Boleh rujuk dua dua, they are cooridnated thats why they released the kenyataan bersama.," katanya.

Kabinet hari ini memutuskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah dalam acara bukan Islam di rumah ibadat mereka.

Bagaimanapun, kata menteri agama Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan Aaron Ago Dagang, nasihat tersebut tidak bersifat dasar.