Sosma: Suaram cabar MP kerajaan lawat peserta mogok lapar
Kumpulan hak asasi manusia, Suaram mencabar Ahli Parlimen kerajaan yang sebelum ini memperjuangkan pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) supaya bertemu keluarga 32 tahanan yang telah melancarkan mogok lapar sejak pagi tadi.
Pengarah eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, dalam sidang media di luar Kompleks Penjara Sungai Buloh petang tadi, meluahkan kekecewaannya terhadap keengganan kerajaan memansuhkan atau meminda undang-undang tersebut, khususnya peruntukan yang menafikan ikat jamin dan membenarkan penahanan berpanjangan.
Dia berkata, ahli keluarga tahanan Sosma terpaksa mengadakan protes berikutan pendirian kerajaan itu.
"Cadangan pindaan sudah sampai ke kabinet. Tapi kenapa sampai sekarang sudah dua tahun lebih, dia 'tidur' di sana.
"Apa menteri kabinet sedang buat. Dan sekarang sudah kenal pasti ini undang-undang bermasalah, kenapa biarkan pihak berkuasa bermaharajalela menggunapakai undang-undang itu tanpa sekatan atau hak
"Jadi kita minta kerajaan harus tampil ke depan, kenakan moratorium pada sosma dan gunapakai CPC (Kanun tatacara jenayah) dan penal code (kanun Keseksaan) sedia ada," katanya.
Kemuka tuntutan
Terdahulu, Sevan melawat peserta mogok lapar yang mengemukakan beberapa tuntutan kepada kerajaan berkaitan Sosma.
Antaranya, mereka mengemukakan memorandum bagi mendesak pemansuhan undang-undang berkenaan serta membebaskan tahanan yang telah ditahan sejak tahun lalu sementara menunggu perbicaraan.

Sevan berkata, mereka mahu melihat ahli parlimen tampil mendengar keluhan kumpulan itu.
“Jadi kita menyeru semua MP yangg pernah membangkitkan isu ini datang bersuara dan beranikan diri bersuara.
“Jangan berselindung di bawah Kerajaan Madani ini,” ujarnya.

Sevan juga mengkritik pihak berkuasa kerana memasang kawat berduri di jalan menuju ke pintu masuk penjara tersebut, yang memaksa peserta mogok lapar duduk di kawasan berhampiran jalan raya yang sibuk.
Dia menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk penindasan terhadap kumpulan yang mahu menyuarakan pandangan mereka.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/07/2e7a9eac1bb947de28c41a2c4f4c46c7.jpg)
