Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jangan terkejut beruk syarikat baru dapat kontrak besar'
Diterbitkan:  Feb 10, 2025 1:08 PM
Dikemaskini: 6:07 AM

Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff hari ini tampil menjelaskan mengenai isu syarikat baru yang mendapat kontrak besar.

Mengulas bidasan terhadap pemilihan tiga syarikat yang dilantik untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan kementeriannya, dia berkata, situasi seperti itu biasa berlaku dan bukan perkara yang mengejutkan.

"Pernah dengar ‘syarikat tujuan khas’ atau ‘special purpose vehicle’ (SPV)? Ia syarikat yang digunakan untuk tujuan tertentu sama ada oleh satu pihak atau pun usahasama. Kita ambil contoh mudah, penyenaraian syarikat pegangan pelaburan.

"Perkara ini biasa berlaku, jangan terkejut beruk pula. Katakan seorang usahawan ada tiga perniagaan yang berasingan yang jika digabungkan prestasi, kedudukan kewangan dan potensinya melayakkan syarikat-syarikat berkenaan untuk disenaraikan sahamnya.

"Jadi, usahawan berkenaan boleh memilih sebuah syarikat, sama ada yang baharu diperbadankan atau yang dah lama wujud sebagai satu syarikat kelonsong (dormant company) sebagai SPV.

"Ketiga-tiga syarikat yang nak disenaraikan itu akan disuntik ke dalam SPV berkenaan dan saham-saham baharu diterbitkan kepada pemilik asal. Jika SPV ni baru berusia sehari, adakah ia tak layak? Yang melayakkan penyenaraian saham ini ialah gabungan ketiga-tiga syarikat tadi melalui SPV sebagai syarikat pegangan pelaburan," katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Mengulas lanjut, Nik Mohd Hasyudeen berkata, prestasi ketiga-tiga syarikat akan digabungkan secara “profoma” atau seolah-olah mereka sudah beroperasi sebagai satu kumpulan dari hari pertama lagi.

"Biasanya Bank Pelaburan selaku penasihat akan mempastikan proforma ini disediakan dengan kaedah yang mengikut undang-undang dan piawaian perakaunan.

"Jadi, janganlah pelik jika ada syarikat yang baharu ditubuhkan diberikan kontrak atau pun konsesi," katanya yang juga bekas pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji.

Sebelum ini, aktivis PAS Nurul Islam Mohammed Yusoff mempersoalkan pemilihan tiga syarikat yang dilantik untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan.

Katanya, walaupun menyokong langkah kerajaan untuk memecahkan monopoli Puspakom terhadap pemeriksaan kenderaan, namun dia mempersoalkan latar belakang syarikat yang dilantik.

Ini kerana, katanya, tiada satu pun daripada tiga syarikat yang dipilih mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam sektor automotif.

“Bagaimana kementerian boleh melantik syarikat baru, syarikat tiada pengalaman berkaitan untuk menjalankan proses pemeriksaan kenderaan yang bakal melibatkan nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam catatan Facebook semalam.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat - yang turut disemak oleh Malaysiakini - Nurul Islam menegaskan bahawa dua daripada tiga syarikat yang dilantik itu - Pakatan Petroleum Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd -  terlibat dalam perniagaan yang tidak berkaitan dengan automotif.

Perniagaan Pakatan Petroleum adalah perdagangan petroleum, gas, dan perniagaan yang berkaitan, manakala Beriman Gold terlibat dalam pembinaan, telekomunikasi dan multimedia, serta keselamatan dan sistem IT.

Sementara, syarikat ketiga - Wawasan Bintang Sdn Bhd - menyenaraikan pemeriksaan kenderaan bermotor sebagai perniagaannya.

Bagaimanapun, Nurul Islam berkata syarikat itu baru berusia lapan bulan dan tidak mempunyai rekod prestasi awam.

"Carian aku tak jumpa sebarang pengalaman syarikat ni dalam bidang automotif," katanya.

Selanjutnya, dia mempersoalkan bagaimana sebuah syarikat berusia lapan bulan yang masih belum memfailkan penyata kewangan dan laporan audit membuktikan bahawa ia mempunyai kewangan yang kukuh.

Anthony Loke

Katanya, kewangan kukuh adalah antara kriteria utama yang Loke sebutkan semasa memilih syarikat berkenaan.

Kriteria lain yang dinyatakan ialah mempunyai sekurang-kurangnya RM10 juta modal berbayar, dimiliki anak tempatan, dan mematuhi garis panduan permohonan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermotor.

Nurul Islam seterusnya mempersoalkan mengapa Wawasan Bintang dianugerahkan tiga lokasi manakala dua lagi syarikat hanya diberi dua lokasi setiap satu.

Loke mengumumkan pelantikan ketiga-tiga syarikat itu pada Jumaat lalu.

Dia dilaporkan sebagai berkata bahawa pemohon yang tidak berjaya gagal memenuhi kriteria yang ketat, termasuk mengelakkan konflik kepentingan dalam perkhidmatan pembaikan, perdagangan atau pengubahsuaian kenderaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS