Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kadar pengangguran menurun, tapi di Sabah kekal tinggi
Diterbitkan:  Feb 10, 2025 3:12 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

Kadar pengangguran di Malaysia pada Dis 2024 menurun kepada 3.1 peratus iaitu kadar terendah sejak 116 bulan.

Menurut Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran terendah sebelum ini dicatatkan pada Mei 2015 iaitu 3.1 peratus.

Bagaimanapun, kadar pengangguran di Sabah kekal tinggi.

Menurut statistik yang dikeluarkan hari ini, bilangan penganggur di seluruh negara menurun daripada 546,700 pada Nov 2024, kepada 544,300 pada Disember.

Kadar pengangguran negara berlegar sekitar 3.2 peratus sejak Ogos tahun lalu.

Selangor dan Kedah mencatatkan kadar pengangguran terendah, masing-masing pada 1.7 peratus pada suku keempat 2024 diikuti Melaka pada 1.8 peratus.

Johor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perlis mencatatkan i kadar pengangguran di bawah 2.5 peratus.

Kadar pengangguran di Kuala Lumpur, Putrajaya, Sarawak, Perak dan Terengganu berada pada 3.5 peratus atau lebih rendah, manakala Kelantan pada 3.8 peratus.

Bagaimanapun, Sabah dan Labuan mengatasi trend pengangguran rendah, masing-masing pada 7.7 peratus dan 5.5 peratus.

Menurut data Jabatan Perangkaan, pengangguran di Sabah berada pada tahap yang sama seperti suku ketiga 2024, tetapi lebih rendah berbanding 8 peratus pada suku pertama.

Data menunjukkan pengangguran di Sabah tidak pernah turun di bawah 7 peratus sejak wabak Covid-19 melanda pada awal 2020.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Uzir Mahidin berkata angka pengangguran baru negara mencerminkan daya tahan ekonomi.

“Menjelang penghujung 2024, ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan yang kukuh. Oleh itu, pasaran buruh juga menunjukkan prestasi yang baik, dengan kadar pengangguran terus menurun pada bulan Disember 2024," katanya.

Menurutnya, pasaran buruh negara yang positif pada tahun 2024 sebahagiannya disumbangkan oleh permintaan buruh merentasi pelbagai sektor, dan dijangka berterusan pada tahun ini.

"Sektor utama seperti pembuatan terutamanya elektrik dan elektronik, dan perkhidmatan pula akan mendorong kepada pewujudan pekerjaan," kata Uzir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS