Batu Buruk: Suhakam tidak dapat adakan siasatan awam
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memutuskan tidak akan mengadakan siasatan awam berhubung kejadian rusuhan di Batu Buruk, Terengganu bulan lalu, atas alasan perundangan.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memutuskan tidak akan mengadakan siasatan awam berhubung kejadian rusuhan di Batu Buruk, Terengganu bulan lalu, atas alasan perundangan.
Keputusan itu dibuat walaupun maklumat yang dikumpulkan dalam siasatan awal Suhakam mendapati terdapat bukti keganasan polis dan pelanggaran hak asasi manusia sewaktu kejadian tersebut.
Dalam taklimat mengenai hasil siasatan awal itu di Kuala Lumpur hari ini, Suruhanjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam berkata, suruhanjaya itu "tidak mempunyai kuasa" untuk menyiasat rusuhan tersebut kerana ada kes mengenainya di mahkamah.
Khair Muzakkir Ali, 22, telah didakwa di mahkamah atas tuduhan merosakkan hartabenda awam dan gagal menunjukkan kad pengenalan diri kepada polis sewaktu kejadian rusuhan tersebut.
Siva berkata, Seksyen 12 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 melarang suruhanjaya itu daripada menyiasat aduan pelanggaran hak asasi manusia apabila kes berkaitan sedang dibicarakan di mahkamah.
"Jika undang-undang membenarkan, kita pasti menimbang (untuk mengadakan siasatan awam)," katanya ketika ditanya jika suruhanjaya tersebut akan mengadakan siasatan awam jika tiada lagi kes mengenainya didengar di mahkamah.
Satu-satu tindakan yang boleh diambil oleh Suhakam ialah mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengenai cadangan suruhanjaya itu berhubung langkah-langkah kawalan orang ramai dan pindaan kepada Akta Polis 1997 mengenai pengeluaran permit untuk mengadakan perhimpunan awam.
Kejadian rusuhan pada 8 September lalu berlaku selepas polis meleraikan ceramah anjuran badan pemantau pilihanraya, Bersih, iaitu gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang.
Tujuh orang cedera dalam kejadian tersebut, termasuk empat anggota polis dan dua orang awam yang terkena tembakan seorang anggota polis.
'Gagal kawal orang ramai'
Ekoran itu, Bersih telah membuat aduan kepada Suhakam yang kemudiannya menghantar satu pasukan untuk menjalankan siastan awal untuk menentukan sama ada perlu diadakan siasatan awam.
Pasukan itu, yang diketuai oleh Siva sendiri, menemubual sejumlah 43 individual yang terdiri daripada 13 'mangsa', 22 anggota polis dan lapan pemimpin parti pembangkang, antara 19 dan 20 September lalu.
Menjawab satu soalan, Siva berkata, siasatan awal itu gagal menentukan punca berlakunya rusuhan tersebut.
Di peringkat siasatan awal ini, katanya, pasukan itu tidak menemui sebarang bukti bahawa pihak penganjur telah merancang rusuhan tersebut, atau ianya dirancang oleh pihak polis seperti yang didakwa oleh pihak penganjur.
Menurutnya lagi, bukti yang ada menunjukkan polis gagal mengawal orang ramai dalam tempoh masa yang cepat, memandangkan rusuhan itu berterusan dari jam 10 malam hingga 2 pagi.
Siva berkata, ianya mungkin kerana pihak polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) lebih bertindak bertahan dan tidak mengambil tindakan ofensif ketika mengendalikan orang ramai.
Keadaan itu, telah membuat orang ramai menjadi berani untuk bertindak menyerang polis dan FRU dengan batu, kayu, batang besi dan bom api, kata Siva ketika membaca satu kenyataan.
Pinda Akta Polis
Siva tidak memberi jawapan secara langsung ketika ditanya mengenai justifikasi pihak polis mengunakan meriam air dan gas pemedih mata sewaktu kejadian tersebut.
Berdasarkan kepada kenyataan tersebut, suruhanjaya itu berkata, penggunaan meriam air dan gas pemedih mata "tidak boleh, di peringkat ini, dianggap sebagai mengekang kebebasan untuk berhimpun".
Mengenai perbincangan dengan Musa, Siva berkata, Suhakam akan menekankan tentang syor-syor mengenai langkah pengawalan dan kebebasan berhimpun serta menentukan kedudukan polis dalam perkara-perkara tersebut.
Menurutnya, pihak polis sepatutnya menggunakan "standard antarabangsa" ketika mengawal orang ramai seperti yang dinyatakan dalam garispanduan dalam laporan Suhakam mengenai siasatan awam kejadian di KLCC pada 2006.
Garispanduan itu mengesyorkan supaya polis mengekang daripada menggunakan kekerasan dan menghormati nyawa manusia.
Siva berkata, dalam pertemuan dengan Musa itu nanti, Suhakam juga akan menyatakan pendiriannya selama ini supaya Sesyen 27 Akta Polis 1997 dipinda untuk memboleh perhimpunan secara aman diadakan tanpa perlu mendapatkan permit.
Bagaimanapun, Siva menegaskan bahawa Suhakam tidak menyokong sebarang perhimpunan awam yang tidak diadakan secara aman, dan suruhanjaya itu mengklasifikasikan kejadian di Batu Buruk itu sebagai satu rusuhan, berdasarkan kepada bukti-bukti yang diperolehi. Berita asal

