Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Usul seragamkan agensi kerajaan dibawa ke kabinet
Diterbitkan:  Feb 12, 2025 10:14 AM
Dikemaskini: 2:48 AM

Usul untuk menyeragamkan beberapa agensi kerajaan bagi menangani isu pertindihan fungsi akan dibentangkan dalam mesyuarat kabinet tidak lama lagi, kata perdana menteri

Menurut Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan, perkara berkenaan perlu dibawa kepada pengetahuan jemaah menteri terlebih dahulu sebelum keputusan mengenainya dibuat.

“Mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Seri Asri Hamidon telah saya tugaskan untuk mengemukakan beberapa usul bagi menyeragamkan beberapa agensi, yang akan dibawa kepada Ketua Setiausaha Negara.

“…dan saya akan membuat keputusan setelah ia dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Pada 3 Sept lalu Anwar mengumumkan, kerajaan telah menubuhkan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan bagi menangani isu pertindihan fungsi dan penjimatan dana negara.

Susulan itu, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan pelantikan Asri untuk mengetuai Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan berkuat kuasa 10 Sept 2024.

Sementara itu, Anwar berkata agensi kerajaan tidak dibenarkan mewujudkan syarikat tanpa kelulusan peringkat tertinggi kerana ada syarikat yang mencatatkan kerugian besar.

“Saya telah memberi arahan supaya tidak boleh diwujudkan syarikat di bawah agensi tanpa kelulusan peringkat tetinggi kerana ribuan syarikat itu mencatat kerugian besar.

“Namun, membatalkan syarikat-syarikat tersebut bukanlah perkara yang mudah. Tetapi jika itu wajib dilakukan, kita harus melakukannya, dan ini adalah sebahagian daripada proses reformasi institusi,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut menyeru jentera perkhidmatan awam untuk berfikir serta bertindak pantas bagi memacu pertumbuhan negara.

Selain itu, Anwar berkata dia dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan telah membincangkan kaedah pelaksanaan dasar  dan strategi besar dalam pertemuan mereka semalam. 

“Kami menegaskan mengenai pelaksanaan dasar dan strategi besar. Ada beberapa hal yang telah dilaksanakan dengan baik,” katanya. 

Pada majlis itu, Anwar turut melancarkan Sistem Terimaan Elektronik Kerajaan Persekutuan (iPayment) yang dibangunkan Jabatan Akauntan Negara Malaysia bagi memacu transformasi digital sektor awam ke arah komuniti tanpa tunai. 

Turut hadir, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Shamsul Azri.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS