Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
N Sembilan tarik balik gelaran Datuk bekas VC UKM
Diterbitkan:  Feb 12, 2025 8:38 PM
Dikemaskini: 1:59 PM

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan pengurniaan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) kepada bekas naib canselor (VC) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman, ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.

"Keputusan ini bertujuan menjaga kebesaran dan kehormatan Institusi Diraja di Negeri Sembilan," kata Pendaftar Darjah Datuk Mohd Zafir Ibrahim pada kenyataan hari ini.

Mohd Ekhwan dianugerahkan DBNS yang membawa gelaran Datuk pada 14 Jan 2019.

Malaysiakini pada 4 Feb lalu melaporkan polis menerima dua laporan daripada bekas naib canselor UKM itu berhubung dakwaan fitnah dan tohmahan yang dilontarkan kepadanya.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir turut mengesahkan menerima surat peletakan jawatan naib canselor daripada Mohd Ekhwan Toriman.

Zambry berkata pihaknya menerima peletakan jawatan itu kerana Mohd Ekhwan memberikan sebab mahu menumpukan perhatian terhadap perkara lain. 

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan terdapat unsur salah guna kuasa dan penyelewengan di UKM yang mengaitkan Mohd Ekhwan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS