Tarikh akhir dedah sumber klip video esok
Dua ahli PKR yang telah diberi kata-dua oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya mendedahkan sumber klip video perbualan peguam Datuk VK Lingam, akan menyatakan pendirian mereka mengenainya esok.
Dua ahli PKR yang telah diberi kata-dua oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya mendedahkan sumber klip video perbualan peguam Datuk VK Lingam, akan menyatakan pendirian mereka mengenainya esok.
Mereka menerima notis tersebut (lihat di bawah) dari BPR minggu lalu yang mengarahkan mereka supaya berbuat demikian atau berdepan risiko hukuman penjara.
Naib Presiden PKR, R Sivarasa dan penyelaras politik Datuk Seri Anwar Ibrahim - Sim Tze Tzin - diarahkan mendedahkan sumber klip video itu kepada BPR dalam tempoh tujuh hari - sama ada datang sendiri atau menghantar pos berdaftar ke ibupejabat badan itu di Putrajaya.
Ketika dihubungi hari ini, Sivarasa berkata, mereka akan terbuka mengenainya tetapi menyuarakan keprihatinannya terhadap cara BPR menjalankan siasatan terhadap skandal itu yang telah menggegarkan badan kehakiman.
"Saya ragu dengan cara BPR menyiasat perkara ini. Jika mereka ingin tahu kesahihan klip video tersebut, cara pasti dan termudah ialah dengan mendapatkan pakar teknikal untuk mengesahkannya," tambahnya.
Bagaimanapun, kata Sivarasa, BPR gagal berbuat demikian dan tetap mahu mendapatkan sumber klip video tersebut.
Pada masa ini, kesahihan klip video itu sedang disiasat oleh sebuah panel bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan. Panel itu diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor.
Klip video itu yang didedahkan pada 19 September lalu menunjukkan Lingam berbual melalui telefon, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada tahun 2002, mengenai pelantikan hakim-hakim.
Hukuman penjara
Pada hari berikutnya, Sivarasa dan Sim telah membuat laporan kepada BPR meminta supaya siasatan dijalankan terhadap klip video tersebut.
Mereka kemudiannya dipanggil oleh BPR yang meminta mereka mendedahkan sumber klip video itu, sebelum menerima notis tersebut.
Notis itu menyatakan kegagalan untuk berbuat demikian melanggar Seksyen 29 (c) Akta Mencegah Rasuah 1997.
Di bawah Seksyen 58 akta yang sama, pesalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau setahun penjara.
Sementara itu, Sivarasa berkata beliau tidak yakin dengan BPR selepas sebuah blog menyiarkan sepucuk surat yang mendakwa berlaku pelbagai bentuk salahguna kuasa oleh pegawai-pegawai badan tersebut.
Surat itu mendakwa, identiti pemberi maklumat yang membantu polis dalam tangkapan dan siasatan terhadap seorang ahli perniagaan telah dirahsiakan sehinggalah BPR mengarahkan Pengarah Bahagian Jenayah Komersial, Datuk Ramli Yusuff mendedahkan nama mereka untuk siasatannya.
Ia mendakwa pegawai-pegawai BPR itu telah menghubungi pemberi maklumat yang berdepan dengan tekanan dan ancaman supaya menukar kenyataan mereka kepada polis, supaya ahli perniagaan itu dibebaskan dari sebarang tuduhan salahlaku.
Perlindungan
"Sumber tersebut bimbang dengan keselamatannya. Ekoran kes Ramli tersebut, kami tidak yakin sumber kami akan mendapat perlindungan," kata Sivarasa.
Sementara itu, Sim pula ingin tahu sama ada dalam siasatannya, BPR telah menghubungi mereka yang disebut dalam klip video tersebut.
"Saya ingin tahu, adalah mereka telah menghubungi Ahmad Fairuz mengenai hakim-hakim yang disebut dalam klip video itu seperti (hakim-hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Heliliah Yusof, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Ramly Ali?
"Adalah mereka telah bercakap dengan (ahli perniagaan) Tan Sri Vincent Tan dan VK Lingam?" soalnya.
Sivarasa dan Sim dijadualkan bertemua dengan pegawai BPR esok sama ada di pejabat badan di Kuala Lumpur atau ibupejabatnya di Putrajaya. Berita asal

