Kebolehan seorang ahli politik Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) membaca doa dalam sembilan bahasa ketika menghadiri Perhimpunan Agung ke-16 parti itu di Kuching, hari ini mencuri perhatian para perwakilan.
Suhaimi Mohamad, 37, membaca doa dalam bahasa bahasa Arab, Melayu, Inggeris, Iban, Melanau, Bisaya, Lun Bawang, Bidayuh, dan Mandarin, lapor Dayak Daily.
Usahanya itu mendapat mengundang rasa kagum dan mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin yang terdiri daripada pelbagai latar belakang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Bercakap kepada pemberita kemudian, Suhaimi berkata inisiatif ini lahir daripada kesedarannya sendiri bahawa doa tidak semestinya dalam satu bahasa sahaja.
“Selalunya orang salah faham bahawa Islam mesti Melayu, sedangkan ada juga Cina Muslim, Iban Muslim. Jadi, apabila bahasa mereka diraikan, mereka merasa dihargai,” katanya.
Selain itu, katanya dia mahu memperkenalkan sesuatu yang unik yang mampu mencerminkan kepelbagaian bahasa dan budaya di Sarawak.
“Sarawak adalah tuan rumah kepada banyak kumpulan etnik dan saya mahu menampilkan sebanyak mungkin bahasa dalam bacaan doa dalam masa yang terhad,” kata timbalan ketua pemuda PBB cawangan Bukit Kota itu yang mengambil masa lima minit untuk selesai membacakan doa berkenaan.
