Kabinet lihat ada keperluan pinda Akta Pemberi Maklumat - Fahmi
Kabinet melihat ada keperluan untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi mengatasi beberapa isu percanggahan dengan akta lain dan memperkukuh perlindungan kepada pemberi maklumat.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata satu memorandum mengenai cadangan pindaan akta tersebut telah dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu.
"Memang ada keperluan untuk meminda akta tersebut memandangkan ada percanggahan ataupun ada beberapa perkara melibatkan akta-akta yang lain yang perlu diharmonikan dan ditambah baik.
"Oleh kerana ia (masih) di peringkat dasar maka ada beberapa perkara yang saya minta rujuk dengan Menteri Undang-Undang.
“Tapi pada waktu ini agensi ataupun badan penguatkuasaan perlu bersikap profesional berlandaskan undang-undang sedia ada," katanya dalam sidang media pasca Kabinet di Putrajaya, hari ini.
Fahmi menjelaskan bahawa selagi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 belum dipinda, individu yang mendedahkan maklumat terus kepada media tidak akan dilindungi.
Dia mengakui bahawa akta sedia ada mempunyai kekangan dalam melindungi pemberi maklumat yang memilih untuk menghubungi media terlebih dahulu.
Keperluan untuk meminda akta berkenaan sebelum ini mencetuskan persoalan mengenai pendirian PH yang dilihat berubah-ubah dalam melindungi pemberi maklumat.
Ini susulan kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang mempertahankan peruntukan sedia ada yang membatalkan perlindungan jika pemberi maklumat menghubungi pihak media terlebih dahulu.
Menteri Undang-Undang, Azalina Othman Said, turut mengesahkan kerajaan tidak bercadang untuk meminda peruntukan tersebut, sekali gus dilihat bertentangan dengan janji manifesto PH pada PRU15.
Dalam perkembangan lain, Fahmi turut mengulas mengenai kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang kekal di tangga ke-57 bagi tahun 2024.
Dia menjelaskan bahawa Transparency International Malaysia (TI-M) telah menyenaraikan lapan inisiatif positif yang diusahakan kerajaan dalam memerangi rasuah.
"Kenyataan media yang dikeluarkan oleh TI-M turut menyatakan terdapat lapan perkara yang mana melihatkan pergerakan positif yang diusahakan oleh pihak kerajaan.
"Jadi ada lapan perkara dan saya minta rujuk kenyataan daripada TI-M," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/11/94d47d989431aac3fcf1a1f9319062c6.jpg)
