Kerajaan menafikan wujud pengundian dibuat oleh Majlis Raja-raja bagi mengambil tindakan terhadap kerajaan atas dakwaan ingkar melaksanakan Titah Adendum tahanan rumah terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan pihak polis telah mengenalpasti pihak yang menyebarkan berita palsu itu.

"Sekiranya ada sebarang undian pun, hanya raja pemerintah, raja yang berdaulat yang berhak untuk mengundi dalam sidang tersebut. 

"Dari gambar yang dimuatnaik dalam Facebook rasmi Sultan Ibrahim mengenai Majlis Raja-raja yang baru berlangsung, kita boleh lihat bahawa Tuanku sendiri tidak hadir bermaksud tidak ada sembilan undian.

"Maka untuk mana-mana pihak membuat satu berita palsu, menyatakan ada undian 7-2 bermaksud ada sembilan raja yang mengundi," katanya pada sidang media pasca Kabinet di Putrajaya, hari ini.

Fahmi mengulas mengenai penularan tangkap layar yang tersebar dalam aplikasi WhatsApp yang mendakwa Majlis Raja-raja membuat undian untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan kerana ingkar melaksanakan Titah Adendum.

Mengulas lanjut Fahmi berkata, penularan berita palsu ini adalah bersifat 3R iaitu menyebarkan berita palsu berkaitan Raja-raja.

"Pihak MCMC dan PDRM telah mengenalpasti sejumlah individu yang telah terlibat memulakan berita palsu ini yang memang bersifat 3R.

"Pihak MCMC dan PDRM akan ambil tindakan terhadap mereka serta mana-mana pihak lain yang turut menularkan, menyebarkan berita palsu yang melibatkan raja-raja," katanya lagi.