Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jatuhkan kedudukan Melayu dalam politik - Pensyarah anugerahkan Akmal hadiah utama
Diterbitkan:  Feb 14, 2025 6:31 PM
Dikemaskini: 10:31 AM

Pensyarah Tajuddin Mohd Rasdi berkata Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berjaya menjatuhkan kedudukan politik Melayu ke tahap paling rendah dengan melakukan apa yang dianggap sebagai mustahil.

“Selepas 30 tahun meneliti dunia politik Melayu, saya fikir saya telah menyaksikan ahli politik dan pemimpin Melayu yang tidak senonoh. 

“Tetapi Akmal dapat hadiah utama," kata Tajuddin kepada Malaysiakini.

Merujuk hantaran “lebih baik pergi mati saja” Adun Merlimau itu, baru-baru ini, profesor seni bina tersebut melahirkan rasa kesal kerana seseorang seperti Akmal dipilih untuk mewakili rakyat.

"Lebih teruk, dia adalah seorang exco (dalam kerajaan negeri Melaka). Lebih-lebih lagi, dia baru-baru ini dianugerahkan gelaran Datuk," tambahnya.

Tajuddin mempersoalkan sama ada seorang wakil rakyat Malaysia - bukan sahaja mewakili pengundi Melayu - yang juga memegang gelaran dan jawatan mempunyai hak untuk merendah-rendah atau memperlekehkan cadangan orang lain.

Sehubungan itu, Tajuddin meminta Umno mengajar "diplomasi, kesopanan, dan penghormatan" dalam modul latihannya untuk pemimpin muda.

“Sepanjang saya pelajari, Islam tidak pernah mengajar saya untuk menghina orang lain semata-mata kerana mereka memberi cadangan atau tersalah faham sesuatu.

"Islam, seperti ajaran nabi, menekankan kesopanan, penghormatan, dan kepintaran ketika menangani mereka yang mempunyai pandangan yang berbeza. 

“Malangnya, sesetengah ahli politik Melayu tidak mempamerkan sifat ini," keluhnya.

Akmal Saleh

Tajuddin seterusnya meminta Akmal memohon maaf tetapi dia meragui bahawa "pahlawan" Umno itu akan berbuat demikian.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Akmal membidas cadangan Ahli Parlimen DAP Chow Yu Hui untuk jawatan menteri persekutuan diwujudkan bagi hal ehwal bukan Islam.

 “Bila yang jadi wakil rakyat ni tidak tahu tahu fungsi kerajaan dan perlembagaan dan sensitiviti yang perlu dihormati maka lahirlah wakil rakyat yang terlalu bangang begini rupanya.

“Kalau idea begini pun disokong dan tuduh orang yang menentang ini penyokong pembangkang, maka jawapan saya kepada kamu adalah,lebih baik pergi mati saja!” tulis Akmal dalam satu catatan di media sosial.

[Baca berita asal]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS