Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno Sabah ada strategi tersendiri hadapi PRN
Diterbitkan:  Feb 15, 2025 2:43 PM
Dikemaskini: 6:43 AM

Umno Sabah berkata, mereka mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan yakin akan mendapat sokongan daripada pengundi tidak lama lagi walaupun tidak menjalin sebarang kerjasama dengan parti lain setakat ini.

Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir, berkata mereka yakin pengalaman menguruskan kebajikan serta pembangunan negeri memberi kelebihan kepada parti itu untuk memenangi PRN tidak lama lagi.

“Dalam menghadapi sebarang kemungkinan, Umno Sabah telah bersiap siaga dengan strategi tersendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaimi juga menegaskan Umno Sabah yakin parti itu akan terus menjadi pilihan utama pengundi di seluruh negeri.

Tambah Suhaimi setakat ini memang tiada sebarang ketetapan dibuat untuk mengadakan kerjasama atau menyertai gabungan dengan parti lain bagi menghadapi PRN.

“Segala laporan yang tular hanyalah spekulasi dan tidak mewakili pendirian rasmi Umno Sabah,” katanya.

Semalam seorang pemimpin kanan Warisan menegaskkan parti itu tidak mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti termasuk Umno.

Kata Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking, dakwaan sebuah portal berita mengenai wujudnya persefahaman di antara Warisan dan BN Sabah itu hanyalah andaian dan spekulasi semata-mata.

“Untuk pengetahuan semua, saya mengesahkan di sini bahawa tidak ada sebarang persefahaman pilihan raya dibuat di antara Warisan dan BN Sabah, termasuk juga dengan mana-mana parti politik yang lain,” katanya.

Berdasarkan PRN terakhir dilangsungkan di Sabah, dewan undangan negeri perlu dibubarkan pada tahun ini bagi membuka laluan kepada PRN baru diadakan.

Ketua Menteri Hajiji Noor sebelum ini memaklumkan kerajaan Sabah mempunyai masa sehingga Okt ini sebelum PRN dilangsungkan.

Merujuk kepada kenyataan Darell, Suhaimi berkata, memang tiada sebarang perbincangan rasmi dibuat di antara kedua-dua parti setakat hari ini.

“Sehubungan itu, Umno Sabah menasihatkan semua pihak agar tidak terpengaruh dengan spekulasi yang tidak berasas.

“Sebarang keputusan atau pengumuman rasmi akan dibuat melalui saluran yang sah pada masa yang sesuai,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS