Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Amanah ajak dialog, Pemuda PAS kata usah tumpang populariti mereka

Pemuda Amanah masih menunggu keputusan Pemuda PAS untuk berdialog berhubung tohmahan yang dilontarkan parti Islam itu.

Sekretariat Pemuda Amanah Nasional, Nash Nahar, berkata sudah enam hari jemputan dikemukakan kepada sayap PAS itu, namun belum ada jawapan.

"Enam hari sudah berlalu dengan sunyi, selepas undangan penuh hormat dibuat oleh Pemuda Amanah untuk berdialog terkait tuduhan demi tuduhan berat oleh PAS terhadap parti Amanah.

"Kelmarin, pihak sekretariat Pemuda Amanah Nasional telahpun susuli undangan ini dengan menghantar sendiri email dan surat secara fizikal ke Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut.

Kata Nash, sudah banyak tohmahan berat dilakukan PAS, termasuk menggelar Amanah sebagai 'munafik haraki', ‘parti tajaan DAP’ dan menggelarnya sebagai fitnah kepada agama Islam.

"Ini belum masuk bab kafir mengkafir sama Muslim.

"Sebagai pimpinan generasi muda yang bakal menerajui negara satu hari nanti, Pemuda PAS seharusnya tidak lagi terikut-ikut gaya politik zaman purba ini.

“Maka itu, dengan lapang dada dan bersikap matang, ayuhlah kita ke meja dialog supaya semuanya jelas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nash berkata, sama ada Pemuda PAS sudi menyahut pelawaan mereka ataupun tidak, dialog berkenaan tetap akan diteruskan.

Letak pasu bunga sebagai ganti

Malah katanya, jika tiada wakil Pemuda PAS yang berani menyahut cabaran itu, mereka akan meletakkan pasu bunga sebagai ganti.

"Terima atau tidak undangan kami, dialog ini akan tetap kami teruskan.

"Kalau bukan dengan wakil dari Dewan Pemuda PAS, kita letak pasu bunga sahaja nanti jika tiada wakil yang sudi," katanya lagi.

Sementara itu Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden memberi bayang tidak menerima pelawaan terbabit.

Afnan menyarankan Pemuda Amanah supaya mengadakan dialog dengan DAP terlebih dahulu supaya parti itu lebih hormati Islam.

Dia turut menyifatkan Pemuda Amanah cuba menumpang populariti PAS melalui sesi dialog itu.

"Lebih baik depa (Amanah) pi berdialog dengan DAP supaya DAP hormat Islam, daripada sibuk nak tumpang populariti PAS," katanya kepada Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS